Malaysia tetap tidak hantar pulang Zakir Naik, kata Saifuddin


Diyana Ibrahim

Pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik dikehendaki oleh pihak berkuasa India kerana didakwa terlibat dalam beberapa pertuduhan jenayah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2019.

JAWAPAN rasmi Malaysia kepada India mengenai Zakir Naik sama dengan alasan yang kerajaan umumkan sebelum ini untuk tidak akan menghantar pulang pendakwah kontroversi itu ke negara asalnya, kata Saifuddin Abdullah.

Jawapan rasmi itu bagaimanapun akan menggunakan laras bahasa rasmi perundangan, dan dibuat dengan nasihat Peguam Negara serta kelulusan Jemaah Menteri, jelas Menteri Luar Negeri.

“Sebenarnya kita dah balas lama nota pada India. Tapi dalam pertemuan saya dengan menteri luar India minggu lalu masa sidang kemuncak Asean beliau mengulangi bahawa India akan hantar surat secara rasmi minta ekstradisi Zakir Naik.

“Mereka minta kerajaan jawab secara spesifik dan kita perlu rujuk kepada Peguam Negara dan dapat kelulusan kabinet.

“Bagaimanapun pendirian kita tak berubah tapi untuk hantar surat ada kaedah bahasa dan kandungan perlu sesuai dengan bahasa undang- undang,” katanya kepada media selepas forum Dasar Luar Malaysia dan Geopolitik Semasa di Kuala Lumpur malam tadi.

Jelas Saifuddin, penjelasan rasmi yang diminta oleh New Delhi itu akan diuruskan “secepat mungkin”.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa pendakwah kontroversi itu tidak akan dibicarakan dengan adil di India.

Dr Mahathir juga berkata Malaysia serba salah dalam soal menghantar Zakir kerana risiko pendakwah itu akan dibunuh jika pulang ke India dan tiada negara lain sanggup menerimanya.

Zakir yang mendapat status penduduk tetap Malaysia ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional berdepan beberapa tuduhan terkait jenayah pengubahan wang haram.

Beliau pernah menyatakan kesediannya kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung negara itu dapat memberi jaminan bertulis bahawa beliau tidak akan ditahan dan dipenjara sehingga dibuktikan bersalah.

Pendirian Putrajaya melindungi Zakir bagaimanapun menimbulkan perdebatan dalam kalangan bukan Melayu termasuk sesetengah ahli dan pimpinan DAP.

Ditanya mengapa kerajaan sukar melepaskan Zakir, Saifuddin berkata ia diputuskan mengikut perkiraan kerajaan.

Katanya ia tidak patut dijadikan isu memandangkan pendakwah itu bukan satu-satunya individu yang dilindungi di Malaysia.

“India bukan satu-satunya negara minta pulang rakyat mereka dan kita tak buat.

“Ada juga negara lain yang mohon tapi mungkin kerana rakyat mereka tak duduk sini atau cuma lalu, jadi ia tidak jadi isu macam Zakir Naik.

“Tapi ini bukan kali pertama (permintaan ekstradisi) dan itu memang perkiraan kita.

“Kita buat keputusan bukan atas tekanan mana-mana negara asing tapi atas perkiraan sendiri,” katanya. – 9 November, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen