Kami sudah beritahu, kata Adun BN kepada kerajaan Pulau Pinang


Low Han Shaun

Adun Pulau Betong Farid Saad mencadangkan supaya semua pembangunan di lereng bukit dihentikan segera sehingga pelan pemindahan air dan pelan penyatuan tanah disusun semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017.

KEJADIAN tanah runtuh di Tanjung Bungah adalah akibat daripada sikap kerajaan Pulau Pinang yang “memekakkan telinga” mengenai isu-isu berkaitan perojek pembangunan di lereng-lereng bukit, kata Adun Pulau Betong Farid Saad.

“Jika kerajaan negeri mendengar komen-komen daripada Badan Bukan Kerajaan serta wakil-wakil rakyat, sudh pasti mereka tak akan benarkan pembangunan di lereng bukit berleluasa.

“Sebab itulah dalam mesyuarat negeri akan datang, kami akan cadangkan semua projek di lereng bukit dihentikan sehinggalah penyelidikan yang rapi dibuat,” katanya kepada pemberita di kawasan tanah runtuh Tanjung Bungah.

Farid berkata beliau telah menyerahkan cadangan untuk mesyuarat DUN akan datang yang akan menyentuh peraturan pembangunan di lereng bukit.

“Saya telah cadangkan supaya semua pembangunan di lereng bukit dihentikan segera sehingga pelan pemindahan air dan pelan penyatuan tanah disusun semula.

Beliau berkata, projek-projek tidak akan diluluskan melainkan pelan perparitan dibincangkan sepenuhnya dan pemaju menandatangani perjanjian akauntabiliti sekiranya berlaku banjir di kawasan pembangunan mereka.

“Sebarang pembangunna di wilayah berbukit melebihi 75 meter mesti ditolak tidak kira apa juga keadaan,” katanya.

Farid juga mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk secara terbuka menyatakan pendiriannya mengenai pembangunan di lereng bukit di negeri itu.

“Saya mahu Lim nyatakan pendiriannya, saya nak lihat pendiriannya berkenaan semua pembangunan di lereng bukit dan ia akan dihentikan untuk sementara sehingga penyelidikan selesai.

“Cukuplah, Guan Eng,” katanya.

Tambahnya lagi, Lim tak sepatutnya terus memberi alasan-alasan yang lemah kepada masalah pembangunan di Pulau Pinang.

“Dia pernah cakap, banjir berlaku disebabkan hujan, kalau tak ada hujan, tak ada banjir. Ini alasan lemah Lim.

“Ini masalah serius, sebab itu NGO dan orang awam akan menentangnya.” – 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen