TIGA aktivis pembangkang Kemboja sudah dibebaskan dari pusat tahanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Jerald Joseph.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight sebentar tadi, berkata aktivis berkenaan akan berada di negara ini untuk beberapa hari lagi.
Tiga aktivis tersebut ialah Naib Presiden CNRP Mu Sochua, Keatha Ngoeum dan Heang Leang Seng.
“Saya boleh mengesahkan ketiga-tiga mereka sudah bebas. Mereka akan berada di negara ini untuk beberapa hari lagi,” katanya kepada TMI.
“Dokumen sedang diproses. Mu Sochuan beritahu saya dia sihat,” tambah Jerald.
CNRP adalah parti politik yang diharamkan di Kemboja oleh Perdana Menteri Hun Sen.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang aktivis pembangkang itu berada di Malaysia untuk bertemu pemimpin CNRP yang lain dan menjalani program latihan di sini.
“Mereka ditahan ketika hendak pergi ke Thailand selepas berjumpa pemimpin lain di sini,” kata sumber.
Suhakam sebelum ini berkata ketiga-tiga mereka tidak akan dihantar pulang ke Phnom Penh sebaliknya dihantar ke negara ketiga.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengesahkan aktivis berkenaan tidak akan dihantar pulang ke Kemboja, di mana mereka mungkin berdepan tindakan undang-undang dan hukuman.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pendirian Malaysia tidak masuk campur urusan negara lain tidak berubah.
“Kita nak hantar mereka balik tapi sekarang orang nak mereka datang sini… dan sekarang kita cuba cari negara yang nak terima mereka.
“Kita tak nak ada pertikaian dengan kerajaan atau negara lain. Itu hal negara mereka. Prinsip kita ialah tidak campur urusan kerajaan lain,” katanya.
Aktivis itu ditahan malam Isnin lalu dan dijadual dihantar pulang ke Kemboja pada Selasa.
Arahan pengusiran itu bagaimanapun sudah dibatalkan selepas Suhakam membuat rayuan.
Sebelum ini, Menteri Luar Saifuddin Abdullah mendedahkan Malaysia menerima permohonan Kemboja untuk pengusiran aktivis itu.
Saifuddin berkata, permintaan itu amalan biasa hubungan antara negara tetapi terpulang kepada Malaysia untuk menentukan langkah selanjutnya.
“Kita ada menerima permintaan dari Kemboja tetapi kita sendiri yang akan buat keputusan.
“Ia perkara biasa daripada kerajaan Kemboja yang mahukan kita menghantar pulang beberapa rakyat mereka.
“Tetapi kita sudah menjawab permintaan itu dengan wajar di mana Malaysia akan membuat ketetapannya sendiri,” katanya. – 7 November, 2019.
Komen