Kakitangan Utusan belum nampak bayang gaji, pampasan


Nabihah Hamid

Bekas ketua pengarang Utusan Malaysia bersama bekas rakan sekerjanya di pejabat akhbar berkenaan di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur - Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 November, 2019.

BEKAS kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad yang diberhentikan kerana syarikat gulung tikar sebulan yang lalu belum dapat bayangan bila mereka akan dibayar gaji dan pampasan.

Selain lebih 800 kakitangan yang hilang pekerjaan, nasib sama juga menimpa lebih 700 kakitangan Utusan yang berhenti lebih awal setahun yang lalu melalui skim pemberhentian sukarela atau VSS.

Beberapa bekas kakitangan Utusan memberitahu The Malaysian Insight, mereka kecewa dengan taklimat daripada pihak pengurusan yang tidak memberi jaminan mengenai kedudukan gaji dan pampasan mereka.

“Tiada sebut mengenai pampasan dan gaji langsung. Hanya anggaran akan dibayar enam bulan selepas aset Utusan dijual. 

“Tiada bayang langsung. Hanya kata-kata retorik. Ramai yang kecewa,” kata bekas wartawan Utusan kepada The Malaysian Insight. 

Beberapa kakitangan lain yang dihubungi juga mengulangi nada yang sama.

Semalam, bekas kakitangan Utusan serta pemegang saham minoriti dan beberapa pemiutang kecil menghadiri satu pertemuan untuk mengundi menentukan kedudukan pelikuidasi sementara UHY Advisory (KL) Sdn Bhd yang dilantik sebelum ini.

Majlis disertai bekas Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir, yang muncul untuk kali pertama bertemu dengan bekas kakitangan Utusan sejak beliau mengeluarkan notis makluman penggulungan syarikat pada 9 Oktober lalu.

Dalam pertemuan itu, beberapa kakitangan membangkitkan kepada Aziz isu kebajikan mereka yang tidak terbela.

Ada juga yang meluahkan kecewa kerana Aziz baru muncul sekarang bersemuka dengan mereka.

“Ramai yang marah, kenapa dia baru muncul. Lebih membuatkan ramai bimbang, beliau tidak beri jaminan nasib kami akan terbela,” kata seorang bekas wartawan.

Utusan pada 9 Oktober lalu mengumumkan menggulung syarikat dan melantik UHY Advisory sebagai pelikuidasi sementara untuk menguruskan harta dan liabiliti syarikat dengan pemiutang.

Utusan juga menghentikan operasinya berkuat kuasa tarikh yang sama sementara 815 kakitangan diberhentikan selepas 31 Oktober lalu.

Keputusan penggulungan syarikat dibuat selepas permit penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo diambil alih oleh Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary. 

Syarikat itu kini dikenali dengan nama Media Mulia Sdn Bhd. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen