KEJAYAAN terbesar kerajaan Pakatan Harapan adalah kekal dalam satu gagasan sehingga ke hari ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Mengekalkan pakatan itu bukan mudah katanya, terutama kerana melibatkan parti politik dari pelbagai latar belakang dan mempunyai idea yang berbeza, namun itu berjaya dilakukan oleh PH.
“Kita kekal sekali dalam satu pakatan, gagasan ini bukan senang. Kita ada idea berbeza… idea berbeza dan anda tahu saya macam mana tapi kita masih bersama.
“Mereka kekal dengan saya. Kita ada lima parti berbeza termasuk satu (Parti Warisan Sabah) yang bukan ahli pakatan. Jadi mana nak cari macam itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan, di Putrajaya.
Dr Mahathir sebelum itu ditanya apakah janji yang telah dilaksanakan kerajaan dalam tempoh satu tahun setengah mentadbir, sejak PH menang pilihan raya umum pada Mei 2018.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan pasti akan melaksanakan semua janji PH dalam manifesto tetapi ia dibuat secara berperingkat, bergantung kepada keadaan.
Katanya, tiada perselisihan faham atau halangan dalam kerajaan untuk melaksanakan tugas terutama anggota kabinet.
“Betul kita ada pandangan berbeza tapi masih boleh duduk bersama dan putus ikut konsensus.
“Sebab itu kita tengok dalam setahun setengah tidak ada masalah dan pertengkaran… di luar mungkin ada, tapi bukan dalam kabinet,” katanya.
PH ditubuhkan pada 22 September 2015 dan dianggotai Bersatu, DAP , PKR dan Amanah.
Isu persefahaman PH sering menjadi perhatian kerana mereka dilihat bertelagah semasa sendiri.
Baru-baru ini, pemimpin Bersatu dan DAP dilihat bertelagah secara terbuka selepas Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu mengkritik Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu merangkap pengerusi PH. – 7 November, 2019.
MENYUSUL
Komen