Malaysia cari negara ketiga untuk aktivis Kemboja, kata PM


Diyana Ibrahim

Malaysia kekal dengan pendirian tidak masuk campur urusan negara lain, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 November, 2019.

MALAYSIA akan mencari negara ketiga yang mahu menerima dua aktivis politik Kemboja dari Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang ditahan di negara ini semalam, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pendirian Malaysia jelas tidak mencampuri urusan hal negara luar.

“Kita nak hantar mereka balik tapi sekarang orang nak mereka datang sini… dan sekarang kita cuba cari negara yang nak terima mereka.

“Kita tak nak ada pertikaian dengan kerajaan atau negara lain. Itu hal negara mereka. Prinsip kita ialah tidak campur urusan kerajaan lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Putrajaya, hari ini.

Awal hari ini, pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph mengesahkan Naib Presiden CNRP Mu Sochua dan seorang aktivis yang juga pemohon suaka politik ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Mereka sebelum itu dilaporkan disekat masuk ke Thailand selepas pulang dari mengadakan satu sidang media di Indonesia.

Joseph juga berkata mereka tidak akan dihantar pulang ke Kemboja sebaliknya akan ditempatkan di negara ketiga.

Mu ditahan menjelang kepulangan pemimpin pembangkang Sam Rainsy, yang juga pengasas parti, yang hidup dalam buangan ke Kemboja pada Sabtu ini.

CNRP diharamkan oleh kerajaan Perdana Menteri Hun Sen, dua tahun lalu.

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah berkata Malaysia menerima permohonan dari Kemboja supaya dua pemimpin pembangkang dihantar pulang ke republik itu.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menyifatkan penghantaran pulang dua aktivis itu ke Kemboja boleh membahayakan mereka.

“Kami menggesa pihak berkuasa membebaskan segera dua aktivis pembangkang ini dan memastikan mereka tidak dihantar pula ke Kemboja yang akan mendedahkan mereka ditangkap dan ditahan,” kata Amnesty. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen