AKTIVIS hak asasi manusia Rama Ramanathan memberi keterangan di Bukit Aman hampir dua jam berkaitan artikel ditulisnya pada Oktober mengenai kemungkinan wujud penculikan seorang lagi aktivis, kali ini dari Sabah, Jufazli Shi Ahmad.
Rama, jurucakap kumpulan hak, Citizens Against Enforced Disappearances (Caged), dipanggil polis ke Bukit Aman mengenai artikelnya yang dikongsi di media sosial.
“Ini adalah tentang artikel yang saya tulis dan keluarkan tentang Jufazli Shi Ahmad dan kakaknya, Nurazimah Shi Ahmad.
“Saya menulis yang Jufazli mungkin dibawa polis dengan cara sama Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat, jika tidak kerana keberanian kakaknya, Nurazimah,” kata Rama kepada The Malaysian Insight di luar Bukit Aman sebelum masuk ke dalamnya untuk memberi keterangan.
Rama menambah yang beliau diberitahu polis siasatan ke atasnya dibuat di bawah Kanun Keseksaan, kerana sengaja menghina dengan niat mengacau keamanan dan Akta Komunikasi dan Multimedia kerana salah guna fasiliti atau perkhidmatan rangkaian komunikasi.
Rama ditemani peguamnya, M Visvanathan.
Sekumpulan penyokong hadir tanda solidariti kepadanya, termasuklah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin.
Rama lantang bersuara dalam isu kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat. Menurut inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), wujud kemungkinan kedua-duanya mangsa kehilangan paksa melibatkan pasukan Cawangan Khas (SB) polis.
Pada Mac, Jufazli ditahan kerana didakwa mengecam Dr Mahathir Mohamad sebelum dibawa ke lokap polis Dang Wangi.
Kakaknya, Nurazimah juga ditahan kerana menghalang tugas polis daripada menahan adiknya tanpa waran tangkap.
Jufazli dituduh mengecam perdana menteri menerusi Facebook, menuduh pemimpin berusia 94 tahun itu salah guna kuasa.
Beliau ditahan selama empat hari bermula daripada 16 sehingga 19 Mac, dan hanya dibenarkan berjumpa peguam pada 20 Mac.
Beliau dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan.
Pada 11 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kajang membebaskan kakak Jufazli daripada dakwaan menghalang polis menahan adiknya di apartmen mereka.
Majistret Shahrul Zazly Md Zain berkata pendakwaan gagal membuktikan wujud prima facie terhadap Nurazimah kerana polis bertindak secara tidak sah dalam menjalankan tugas mereka.
Artikel Rama di blognya berkata Jufazli aktif mengkritik politikus dan bekas ketua menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud yang menyebabkan beliau dipecat daripada salah satu pekerjaannya.
Jufazli juga adalah pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah (GAMSS) dan berulang kali mengecam Dr Mahathir kerana berdiam diri dalam isu korupsi dikaitkan dengan Taib. – 7 November, 2019.
Komen