Malaysia tolak cadangan Amerika Syarikat anjur Apec


SM Amin

MALAYSIA menolak cadangan Amerika Syarikat untuk mengadakan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di negara itu Januari depan kata Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompei ada menghubungi beliau ketika di Bangkok baru-baru ini untuk mengetahui kedudukan Malaysia mengenai cadangan itu.

“Apa yang saya tahu, Setiausaha Pompei menghubungi saya ketika kami berada di Bangkok bertanya mengenai kedudukan Malaysia kerana Chile tidak dapat menjadi tuan rumah Apec November ini.

“AS sedang memikirkan untuk menganjurkan Apec di negara mereka sekitar Januari tetapi saya telah memaklumkan kepada pegawai AS semasa mereka berada di Bangkok bahawa kita tidak fikir ia idea yang baik,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Sidang Kemuncak Apec 2019 di Santiago, Chile yang dijadualkan pada November ini dibatalkan ekoran ketegangan krisis politik dan protes besar-besaran yang berlaku di beberapa bandar raya utama negara itu.

Acara itu sepatutnya diadakan pada 16 dan 17 Nov 2019.

Pengarah Eksekutif Sekretariat Apec Rebecca Fatima Sta Maria berkata, pihaknya menghormati keputusan tuan rumah Sidang Kemuncak Apec 2019 Chile yang membatalkan penganjurannya.

Rebecca berkata, keselamatan dan kebajikan rakyat Chile serta anggota Apec menjadi keutamaan paling penting pada ketika ini.  – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen