Muhyiddin cadang Putrajaya sedia pelan rangsangan ekonomi 2020


Sheridan Mahavera

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Putrajaya menyediakan pakej rangsangan ekonomi untuk 2020 sekiranya berlaku kemerosotan pertumbuhan tahun hadapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 November, 2019.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Putrajaya menyediakan pakej rangsangan ekonomi untuk 2020 sekiranya berlaku kemerosotan pertumbuhan tahun hadapan.

Pakej sedemikian akan membantu meningkatkan aktiviti perniagaan dan penggunaan sekiranya kemerosotan ekonomi berlaku tahun hadapan seperti diramalkan oleh penganalisis pasaran.

“Saya akan mencadangkan ia kepada Kementerian Kewangan dan kami akan membincangkannya dalam Kabinet minggu depan,” kata Muhyiddin kepada pemberita di Tanjung Piai hari ini.  

“Jika ekonomi perlahan dan kita tidak membelanjakan apa-apa, ia akan jadi lebih buruk. Kami pernah melakukannya pada kerajaan terdahulu di mana kami menyuntik dana dari RM2 bilion kepada RM3 bilion untuk meningkatkan kadar pertumbuhan sebanyak 1% hingga 2%.

“Ini akan menghalang ekonomi semakin merosot. Saya akan membincangkan idea ini dalam kabinet dengan perdana menteri dan menteri kewangan,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan belanjawan pengembangan untuk 2020 bagi meningkatkan aktiviti penggunaan dan perniagaam berikutan kemungkinan pertumbuhan ekonomi yang perlahan disebabkan ekonomi dunia yang lembab.

Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 4.8% tahun hadapan berbanding 4.7% tahun ini mengikut Kementerian Kewangan atas permintaan domestik yang berdaya tahan walaupun berdepan cabaran luar.

Disokong oleh pasaran buruh yang stabil dan inflasi yang rendah, perbelanjaan isu rumah yang menyumbang 58% dari KDNK akan terus menjadi enjin pertumbuhan, kata laporan itu. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen