MALAYSIA menerima permohonan dari Kemboja supaya dua pemimpin pembangkang Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang ditahan di negara ini semalam dihantar pulang ke republik itu, kata Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah.
Katanya, permintaan Kemboja itu perkara biasa dalam hubungan antara negara dan terpulang kepada Malaysia untuk membuat keputusan sama ada memenuhi atau tidak permintaan tersebut.
Jelas Saifuddin, Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
“Kita ada menerima permintaan dari Kemboja tetapi kita sendiri yang akan buat keputusan.
“Ia perkara biasa daripada kerajaan Kemboja yang mahukan kita menghantar pulang beberapa rakyat mereka.
“Tetapi kita sudah menjawab permintaan itu dengan wajar di mana Malaysia akan membuat ketetapannya sendiri,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Awal hari ini, pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph mengesahkan Naib Presiden CNRP Mu Sochua dan seorang aktivis yang juga pemohon suaka politik ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Mereka sebelum itu disekat masuk ke Thailand selepas pulang dari mengadakan satu sidang media di Indonesia.
Joseph juga berkata mereka akan ditempatkan di negara ketiga.
Mu ditahan menjelang kepulangan pemimpn pembangkang Sam Rainsy, yang juga pengasas parti, yang hidup dalam buangan ke Kemboja pada Sabtu ini.
CNRP diharamkan oleh kerajaan Perdana Menteri Hun Sen dua tahun lalu.
Menurut Saifuddin, beliau difahamkan Mu tiba di Malaysia lewat malam tadi dan disoalsiasat oleh pihak imigresen mengenai tujuan beliau datang ke negara ini.
“Sepengetahuan saya, mereka (jabatan imigresen) hanya mahu soal siasat. Mereka mungkin mahu tahu apa niatnya untuk datang ke Malaysia.
“Apa yang Wisma Putra bimbang, kita tidak berada dalam kedudukan untuk mengusir orang dan tidak juga kita suka untuk berbuat demikian.
“Kita akan membuat keputusan sendiri, bukan kerana apa-apa permintaan atau apa-apa jenis campur tangan dari negara-negara asing.
“Tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh mengganggu apa yang berlaku di negara lain,” katanya. – 7 November, 2019.
Komen