Azmin minta Plus teliti semula penutupan lorong tambah nilai


SM Amin

Sejak Selasa minggu ini, Plus menutup perkhidmatan tambah nilai Touch 'n Go di semua lorong keluar plaza tol di lebuh raya seliaannya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2019.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali meminta Plus Malaysia Berhad (Plus) supaya menimbang semula keputusan untuk menutup semua lorong tambah nilai kad Touch ‘n Go di plaza tol seliaannya.

Azmin berkata Plus perlu mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh pengguna lebuh raya ekoran keputusan tersebut dan menyediakan pilihan kepada pengguna.

“Saya kira pandangan pengguna penting diberikan perhatian kerana kemudahan yang disiapkan itu untuk memberikan keselesaan kepada pengguna lebuh raya. Keputusan menutup lorong tambah nilai itu mungkin keputusan diambil pengurusan. 

“Saya berharap pengurusan dapat meneliti semula keputusan tersebut dengan mengambil kira pandangan daripada pengguna lebuh raya dan mereka harus menyediakan pilihan bagi kemudahan pengguna,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Sejak Selasa minggu ini, Plus menutup perkhidmatan tambah nilai Touch ‘n Go di semua lorong keluar plaza tol di lebuh raya seliaannya.

Keputusan itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas disebabkan urusan tambah nilai di lorong tol di semua plaza tol wilayah utara dan wilayah selatan.

Menurut Plus, 8% daripada 253,000 purata trafik harian di wilayah utara dan 9% daripada 189,000 purata trafik harian di wilayah selatan tidak mempunyai baki mencukupi semasa hendak keluar dari lebuh raya.

“Ini menyebabkan perjalanan pelanggan lain sering terganggu kerana setiap transaksi tambah nilai akibat baki rendah boleh mengambil masa sehingga tiga minit untuk setiap kenderaan,” kata Plus, minggu lalu.

Keputusan itu juga menurut Plus bertujuan memastikan keselamatan petugas khidmat pelanggan Plus berikutan beberapa insiden kenderaan berat merempuh pondok tol di plaza tol.

Bagaimanapun, pengguna mengkritik langkah Plus dan merasakan tindakan tersebut akan menambah lagi kesesakan di plaza tol. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen