DAP diserang untuk raih sokongan BN di Tanjung Piai


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Dalam ceramah kempen BN malam tadi, pemimpin MCA dan MIC tidak menyentuh tentang calon PH Karmaine Sardini dari Bersatu sebaliknya menyerang DAP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 November, 2019.

PEMIMPIN bukan Melayu Barisan Nasional (BN) cuba meyakinkan pengundi Melayu di Tanjung Piai bahawa mereka tidak boleh disamakan dengan komponen bukan Melayu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam ceramah kempen BN malam tadi, pemimpin MCA dan MIC tidak menyentuh tentang calon PH Karmaine Sardini dari Bersatu sebaliknya menyerang DAP.

Karmaine ditentang calon BN Wee Jeck Seng dari MCA, yang juga bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal pada 2008 dan 2013. Turut bertanding Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon bebas.

Nada kempen itu dilihat cuba menangani protes senyap ahli Umno terhadap Wee selepas mereka sebelum ini mendesak BN meletakkan calon Melayu dari parti itu.

Dalam ceramah di Rimba Terjun, Kukup malam tadi, Wee memberitahu hadirin yang kebanyakannya Melayu bahawa MCA lebih hormatkan mereka berbanding lawan dalam PH.

“MCA tak pernah persendakan Melayu, tak pernah persendakan Islam dan raja-raja. Tak pernah kata “let the Malays screw the Malays” atau kata “negara akan jadi negara Taliban”.

“MCA lain daripada parti lain. Ada di kalangan masyarakat Cina yang rasis tetapi MCA adalah parti yang orang Cina berjiwa Malaysia,” katanya.

Walaupun Wee tidak menyebut nama, beliau dilihat merujuk kepada pemimpin DAP.

Kata-kata “let the Malays screw the Malays” diucapkan oleh bekas ahli DAP Hew Kuan Yew dalam satu ceramah semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak pada 2016.

Malaysia akan jadi negara Taliban pula dikaitkan dengan pemimpin DAP Perak Nga Kor Ming ketika beliau mengulas kerjasama Umno dan PAS.

Dalam ceramah malam tadi, Timbalan Presiden MIC M Saravanan menggesa pengundi Melayu mengalahkan DAP kerana parti itu mengancam dominasi Melayu dalam kerajaan.

Katanya, sejak Merdeka, Melayu menguasai kerajaan sementara orang Cina menguasai ekonomi dan perniagaan.

“Sejak PRU14 pentadbiran telah dikuasai DAP dan Lim Kit Siang. 

“Melayu kena sedar ini dan bangkit menyelamatkan negara daripada Lim Kit Siang dan DAP,” katanya. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen