GERAKAN meletakkan sasaran untuk menjadi kuasa ketiga pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor dengan berbekalkan imej bersih dan bebas skandal, kata calonnya yang juga timbalan setiausaha agung parti Wendy Subramaniam.
Bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) itu bukan “tong sampah” seperti digelar sesetengah pihak, bagi pengundi yang enggan memilih BN dan kerajaan Pakatan Harapan (PH), katanya.
Mereka yang tidak menyokong BN tetapi kecewa dengan PH patut memberikan Gerakan peluang baharu dan membantu membina semula parti itu sebagai kuasa ketiga, kata peguam berusia 38 tahun itu.
“Gerakan ialah kuasa ketiga dalam perlawanan antara PH dan BN. Rakyat ada kuasa untuk memilih dan kami bukan tong sampah.
Beliau berkata tawaran pilihan ketiga kepada pengundi itu lebih penting berbanding kemungkinan dirinya akan hilang deposit.
“Bertanding bukan keputusan tiba-tiba. Saya menganalisis dan berfikir masak-masak, dan bersetuju untuk bertanding kerana saya tahu imej parti bersih tanpa skandal. Saya juga mahu kekal dalam parti ini dan berkhidmat kepada rakyat menerusinya.”
Wendy berkata beliau juga mendapat semangat daripada anak perempuannya yang berumur lima tahun, di mana di sebalik usia muda, pernah bertanya kepada ibunya apa maksudnya mewakili orang lain.
“Satu hari anak perempuan saya bertanya adakah rakyat betul-betul ada suara. Saya jawab saya harap kita ada suara. Saya rasa saya perlu melakukan peranan saya untuk masa depan anak-anak kita.
“Jadi bila pengerusi parti minta pendapat saya, saya kata saya sedia menyahut cabaran ini,” katanya.

Wendy juga tidak fikir partinya underdog, walaupun jika calon utama ialah PH dan BN dalam pertandingan enam penjuru yang turut menampilkan dua calon bebas dan satu daripada Berjasa.
“Penerimaan boleh tahan. Sejak Gerakan mengumumkan kami bertanding dan saya adalah calon, saya banyak turun padang dan ramai yang kenal siapa saya.”
Anak jati Johor Baru itu berkata fokusnya pada Tanjung Piai jika terpilih, ialah untuk memperkasakan industri pelancongan dan menaik taraf kemudahan penjagaan kesihatan tempatan.
“Tiada hospital besar di Tanjung Pian, dan sebarang kes serius atau penyakit perlu dirujuk ke Johor Baru.
“Ini isu geografi dan populasi tempatan turut mengalami penuaan. Saya harap saya akan dapat meningkatkan infrastruktur perubatan tempatan dan memberikan penjagaan kesihatan berkualiti kepada warga emas.
“Jalan di sini juga teruk kualitinya, ada banyak lubang dan kemalangan sesuatu yang biasa berlaku,” katanya.
Berkenaan membangunkan pelancongan, Wendy berkata masih ada kawasan dan makanan tempatan yang masih belum dipromosikan kepada seluruh Malaysia.
Wendy mengakui kurang pengalaman dalam berkempen dan tadbir urus berbanding calon daripada PH dan BN, tetapi berkata umurnya yang muda adalah kelebihan kerana ia bermakna beliau dapat berkhidmat dengan baik untuk kawasannya.
Berada dalam politik selama 12 tahun, Wendy berkata beliau tidak aktif hinggalah 2017. Gerakan bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN pada PRU14 tahun berikutnya, tetapi kalah semuanya.
Pada Jun tahun lalu, Gerakan keluar BN di mana ia menjadi parti komponen sejak 1960-an. Parti itu selama ini mempromosikan ia sebagai parti pelbagai kaum dalam BN.
Wendy berkata jika Gerakan kekal dalam BN, beliau tidak akan menyokongnya.
“Saya tidak akan dapat terima jika Gerakan kekal dalam BN,” katanya.
Wendy berkempen dengan sokongan keluarganya, malah suaminya yang memandu kereta membawanya ke semua tempat kempen.
Bagaimanapun, katanya ibu bapanya bimbang jika beliau menjadi subjek kepada buli siber.
“Bila mereka nampak komen hentam saya di online, mereka akan marah.
“Saya beritahu ibu bapa supaya abaikan saja komen itu dan bertenang. Saya lebih bimbang tentang kanak-kanak dibuli di online. Saya juga tidak suka serangan peribadi, jadi saya tidak akan respons kepada serangan seperti itu, kerana ia sangat tidak matang,” katanya. – 7 November, 2019.
Komen