Orang Asli, gajah terkesan dengan aktiviti penebangan hutan 


Noel Achariam Diyana Ibrahim

Aktivis Orang Asli Pos Simpor Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah menunjukkan kawasan yang ditebang untuk aktiviti perladangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2019.

BUKAN masyarakat Orang Asli Pos Simpor dekat Gua Musang, Kelantan saja yang terkesan kepada aktiviti penebangan hutan yang diluluskan kerajaan negeri, tetapi juga gajah liar. 

Penebangan hutan memaksa haiwan liar itu keluar daripada habitat semula jadinya untuk mencari makanan dan menjadikan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran Orang Asli sebagai makanan menyebabkan masyarakat berkenaan mengalami masalah kekurangan bekalan makanan. 

Penduduk di sini yang sudah pun berdepan masalah dengan syarikat pembalakan dan peladangan yang diluluskan oleh kerajaan Kelantan berkata, kawasan mereka kini menjadi sasaran gajah liar lebih daripada tiga kali dan memusnahkan tanaman mereka. 

Aktivis Orang Asli Pos Simpor Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah memberitahu The Malaysian Insight, pencerobohan terbaharu haiwan liar berkenaan berlaku minggu lalu. Gajah liar berkenaan memusnahkan tanaman keledek, pisang dan sayur-sayuran. 

“Tanaman ini merupakan sumber makanan penting kepada 80 keluarga yang tinggal di kawasan ini. Kawanan gajah itu memusnahkan kawasan yang ditanam keledek dan pisang. 

“Hanya ini saja sumber makanan kami dan kini ia musnah,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Penduduk kampung dari suku Temiar itu cuba menghalau gajah liar berkenaan dengan memukul gendang dan menyalakan mercun pada waktu malam. 

Tambah Syafiq, keluarga yang tinggal di sini juga takut untuk tidur malam kerana bimbang dengan serangan gajah. 

“Keluarga di sini takut untuk tidur malam kerana bimbang gajah masuk ke kampung ini lagi.”

Kekurangan bekalan makanan menyebabkan penduduk kampung tiada pilihan selain mendapatkan bekalan di bandar terdekat di Gua Musang yang perjalanannya selama lima jam untuk mendapatkan bekalan makanan, tambah Syafiq.

“Sekarang musim hujan dan keadaan jalan menyebabkan semakin sukar untuk keluar. Kami harap Jabatan Perhilitan dapat bantu kami.”

Selain Orang Asli Pos Simpor, penduduk di Kampung Aring 5 yang mempunyai penduduk lebih 500 orang, turut terjejas kerana kemudahan paip air dimusnahkan gajah liar. 

Ketua kampung, Rina Anjang, 47, berkata tiga tangki dan paip yang menyaurkan air dari kawasan tadahan di kawasan hulu sudah rosak. 

Penduduk Kampung Aring 5 kini terpaksa bergantung kepada air sungai, walaupun tahap kebersihannya diragui. 

Syafiq berkata, penebangan hutan di kawasan sekitar kampung itu menyebabkan gajah liar keluar dari hutan dan menceroboh habitat manusia. 

“Oleh kerana pokok ditebang, gajah tiada tempat untuk mencari makanan. Itu sebab kawanan gajah ini masuk ke kampung kami.”

The Malaysian Insight menghubungi Jabatan Perhilitan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Orang Asli di Gua Musang berusaha menghalang pembalak dan syarikat peladangan sejak beberapa tahun lalu dengan mengadakan sekatan yang  kemudian dirobhkan oleh pihak berkuasa negeri.

Kerajaan Kelantan berkata, penebangan hutan dan kerja perladangan itu berlesen dan dijalankan secara sah, kerana tanah berkenaan milik kerajaan negeri  memandangkan “tanah adat” tiada dalam perlembagaan negeri.

Menurut undang-undang Malaysia, hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kerajaan persekutuan telah memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan dan lima syarikat swasta kerana menceroboh tanah Orang Asli. Kerajaan Kelantan kini membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen