Kerajaan kaji perketat dasar imigresen, kata Muhyiddin


Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, dasar sedia ada membolehkan warga asing masuk ke Malaysia tanpa sebarang halangan sekiranya pasport yang dimiliki bukan dari negara yang dianggap bermasalah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2019.

KERAJAAN akan mengkaji untuk memperketat dasar imigresen berhubung kemasukan warga asing bagi mengekang strategi pengganas yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengakui dasar sedia ada ketika ini membolehkan warga asing masuk ke Malaysia tanpa sebarang halangan sekiranya pasport yang dimiliki adalah bukan dari negara yang dianggap bermasalah.

“Ketika ini, kebanyakan warga asing nak masuk Malaysia hanya perlukan pasport dan jika pasport itu tak dianggap sebagai datang dari negara bermasalah, mereka boleh masuk secara mudah.

“Kita hanya kenakan visa atas sebab tertentu, itu peraturan yang kita ada. Apapun, kita perlu kaji dari segi dasar imigresen ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay semalam berhubung pemberian visa kepada rakyat yang datang dari negara bergolak perlu diperketatkan bagi mengekang kemasukan individu terlibat dalam keganasan.

Menurut Ayob Khan, sejak 2013, seramai 38 pengganas warga asing yang menjadikan negara ini sebagai pusat transit telah ditahan dan diusir. – Bernama, 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen