Sarawak patut sedia peluang kerja pada graduan, kata menteri


SM Amin

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata Sarawak patut turut bantu sediakan peluang pekerjaan kepada graduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2019.

KERAJAAN Sarawak sepatutnya turut membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan dan bukan hanya membayar balik pinjaman pendidikan, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Katanya, penyediaan peluang pekerjaan kepada graduan akan meningkatkan ekonomi rakyat dan membolehkan graduan itu membayar hutang pendidikan apabila mendapat gaji yang baik.

“Selain insentif itu, elok kita berusaha untuk menyediakan peluang kerja dengan bayaran yang lebih tinggi kerana itu adalah lebih baik, mampan dan akan meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

“Bila mereka mempunyai gaji yang lebih tinggi, mereka boleh membayarnya. Yang lebih penting kita inginkan kelangsungan.

“Jadi kita galakkan mana-mana kerajaan negeri membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih mampan dan juga bergaji tinggi untuk rakyat,” katanya di lobi Parlimen.

Menurut Maszlee, turut ditawarkan ialah insentif pelepasan cukai untuk majikan yang membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditanggung pekerja.

“Kita menawarkan kepada mana-mana majikan untuk membayarkan hutang PTPTN kepada pekerja mereka dan mereka akan diberikan pelepasan cukai.

“Kita menggalakkan semua pihak majikan, swasta dan juga kerajaan negeri mana-mana pun untuk melunaskan bayaran hutang pekerja mereka dan mereka akan dapat pelepasan cukai,” katanya.

Maszlee ditanya wartawan mengenai peruntukan RM30 juta disediakan kerajaan Sarawak bagi membantu anak negeri itu yang berdepan kesukaran membayar balik pinjaman PTPTN.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching memberitahu Dewan Rakyat masih ada 375,925 peminjam PTPTN yang tidak pernah membayar pinjaman.

Bagaimanapun, kerajaan tidak akan melaksanakan larangan keluar negara terhadap peminjam ingkar dan satu mekanisme baru akan dirangka untuk pembayaran balik pinjaman PTPTN, katanya.

PTPTN secara purata menyediakan RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun untuk membiayai pinjaman kepada 180,000 peminjam baru dan 420,000 peminjam sedia ada.

Sehingga September lalu, PTPTN meluluskan pinjaman berjumlah RM72.1 bilion kepada 3.14 juta peminjam sehingga mereka tamat pengajian. – 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen