Saya akan bayar agensi pelancongan jika benar ada bil tertunggak, kata Azmin


Chan Kok Leong

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bersedia membayar tiket penerbangan dan hotel yang dituntut sebuah agensi pelancongan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 November, 2019.

MOHAMED Azmin Ali berjanji untuk melunaskan hutang melibatkannya dengan sebuah agensi pelancongan, selepas pihaknya membuat semakan.

“Saya belum melihat writ saman. Saya sudah meminta pegawai saya melihat dan menyemak perkara ini dengan agensi pelancongan,” kata menteri hal ehwal ekonomi di luar Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan di Kuala Lumpur hari ini.

“Jika masih ada hutang, saya akan membayarnya kerana ia tanggungjawab saya. Tetapi, biar pegawai saya periksa terlebih dahulu.”

Dilaporkan semalam sebuah agensi pelancongan menyaman Azmin kerana gagal membayar lebih RM300,000 bagi pelancongan peribadi keluarga dan lawatannya ke Sandakan bagi pilihan raya kecil DUN Sabah pada Mei.

Menurut Sarawak Report, YHA Travel & Tours memfailkan dokumen mahkamah dan menyatakan jumlah itu termasuk kos penerbangan menteri dalam tempoh enam bulan.

Difahamkan pengurusan kes sudah ditetapkan pada 3 Disember di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sarawak Report berkata agensi pelancongan menuntut Azmin membayar RM328,901, selain faedah dan ganti rugi lain untuk dinilai. – 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen