BEKAS Presiden Umno Najib Razak tidak akan berpengaruh di Tanjung Piai berbanding pilihan raya kecil sebelum ini, kata ahli akademik.
“Ini pertama kali beliau pergi ke Johor yang pernah menjadi musuhnya,” kata Prof Dr Hamidin Abd Hamid dari Universiti Malaya (UM).
Beliau berkata bekas perdana menteri itu tidak popular di kubu Umno selepas beliau memecat bekas timbalan presiden Umno Muhyiddin Yassin pada 2016 dari parti dan Kabinet.
“Sejak itu seolah-olah nama Najib Razak telah dipadamkan di Johor. Semasa PRU14 papan iklan Najib hanya ditempatkan di sepanjang lebuh raya.
“Apabila masuk ke bandar atau kampung, tiada siapa bercakap tentang beliau di Johor,” katanya.
Dalam pilihan raya lalu Najib tidak pernah ke Johor sepanjang tempoh berkempen.
Sebaliknya beliau diganti oleh naib presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hamidin yang pernah bekerja di Pejabat Perdana Menteri berkata walaupun Najib melawat Tanjung Piai pada malam penamaan calon Jumaat lepas, beliau tidak menerima sambutan hangat daripada penduduk.
“Beliau sangat dominan semasa PRK Cameron Highlands kerana dari Pahang dan juga popylar di PRK Semenyih.
“Tetapi kita tidak mengharapkan beliau menguasai tajuk-tajuk utama di Tanjung Piai,” kata penyelidik Ilham ini pada seminar P165: Tg Piai di Universiti Malaya semalam.
Ketua Penyelidikan Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata pemilihan Najib di Semenyih dan Cameron Highlands menunjukkan beliau popular.
“56.6% di Semenyih bersetuju Najib memberi impak positif kepada BN pada PRK itu manakala 71% daripada mereka di Cameron Highlands berkata mereka merasakan kehadiran pemimpin itu semasa PRK berkenaan,” katanya.
Hamidin berkata PRK Tanjung Piai juga merupakan ujian penting untuk Presiden Umno Ahmad Zahid.
“Menang atau kalah di sini akan beri petunjuk tentang berapa lama beliau dapat mengekalkan kerjaya politiknya,” katanya.
Beliau berkata Zahid sedang “bercuti” semasa PRK Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau.
“Ini menandakan kali pertama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengetuai parti itu pada PRK kali ini,” katanya.
Ujian di Tanjung Piai juga merupakan penunjuk yang baik terhadap struktur akan umbi PH.
“Apa yang dapat kita lihat sekarang adalah Majlis Presiden PH. Selain itu nampaknya tiada struktur di peringkat negeri atau bahagian.
“Dan ini sangat jelas semasa beberapa PRK menyebabkan kekacauan dan kempen yang lemah. Oleh itu saya percaya ini peluang yang baik untuk melihat sama ada PH telah menyusun strukturnya di peringkat akar umbi,” katanya. – 5 November, 2019.
Komen