MEMPERTAHANKAN kerusi di Tanjung Piai akan menjadi tugas berat bagi Pakatan Harapan (PH) berikutan orang Melayu dan Cina tidak gembira dengan kerajaan hari ini, satu seminar diberitahu hari ini.
“Saya rasa PH mungkin kerajaan pertama di mana kedua-dua kaum utama tidak berpuas hati dengan pentadbiran mereka,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Ilham Dr Mohd Yusri Ibrahim.
“Orang Melayu merasakan PH tidak cukup untuk mempertahankan kepentingan mereka, Islam dan monarki manakala kaum Cina merasakan PH tidak memenuhi harapan pra PRU14,” katanya dalam seminar P165: Tg Piai di Universiti Malaya (UM) pagi tadi.
Keadaan ini sangat penting bagi PH kerana pengundi Tanjung Piai terdiri daripada 57% Melayu dan 42% Cina.
Pensyarah Sains Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, orang Melayu mula berasa tidak selamat selepas PRU14 kerana mereka merasakan tidak ramai ahli Parlimen Melayu di dalam kerajaan.
“Walaupun lebih separuh daripada 139 ahli Parlimen daripada PH dan partinya terdiri daripada pemimpin Bumiputera Melayu dan bukan Melayu, hanya 26% mengundi mereka di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata ini menimbulkan dakwaan bahawa kerajaan dipimpin oleh orang bukan Melayu.
“Naratif ini telah wujud sejak Barisan Nasional tidak lagi menjadi kerajaan dan ia dimainkan dengan berkesan bermula dengan PRK Semenyih. Kemudiannya diikuti dengan PRK Cameron Highland dan Rantau,” katanya. – 5 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen