PARTI pembangkang menggunakan retorik perkauman mengelirukan dalam kempen mereka untuk menawan kerusi Parlimen Tanjung Piai, kata pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sabu, yang menyifatkannya sebagai taktik sebagai untuk memecah belah.
Serangan ini termasuk dakwaan oleh PAS, Umno dan MCA yang hipokrit dan tidak masuk akal terhadap parti PH seperti Bersatu dan DAP, kata Mohamad yang juga menteri pertahanan.
PAS mengulangi kenyataan bercanggah dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang disertai tahun ini bermula dari PRK Cameron Highlands pada Januari.
Dalam persaingan menguasai kerusi Parlimen Cameron Highlands, PAS memberitahu pengundi Melayu agar tidak memilih calon bukan Islam berbanding calon Islam bagi meningkatkan suara orang Islam di Parlimen.
“Di sini parti lama saya kata kena undi pula calon bukan Islam. Parti jenis apa pun saya tak tahu. Tiada pendirian langsung,” kata Mohamad kepada orang ramai di sebuah ceramah di Pekan Nanas malam tadi.
Di Cameron Highlands, PAS menyokong calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor yang menentang M Manogaran daripada PH.
Di Tanjung Piai, PAS menyokong Wee Jeck Seng daripada BN berbanding calon PH, Karmaine Sardini yang merupakan seorang imam dan ahli lembaga pengarah sekolah agama.
PAS berkata ia meninggalkan sekutunya dalam Gagasan Sejahtera, Berjasa, supaya dapat membantu BN. Berjasa menurunkan calonnya Badhrulhisham Abdul Aziz.
“PAS tinggalkan Berjasa yang merupakan rakannya dalam Gagasan Sehatera kerana mahu ikut bossku,” kata Mohamad merujuk kepada nama samaran yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini berdepan pertuduhan rasuah. – 5 November, 2019.
Berita penuh di sini
Komen