Undi Wee Jeck Seng maknanya undi untuk Najib, kata Pakatan


Sheridan Mahavera

PH mendakwa undi Wee Jeck Seng di PRK Tanjung Piai bermakna undi untuk Najib Razak kerana bekas perdana menteri sebenarnya adalah calonnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 November, 2019.

UNDI untuk Wee Jeck Seng adalah undi untuk Najib Razak, kata pakar strategi Pakatan Harapan (PH) Liew Chin Tong ketika berceramah cuba mengalih perhatian pengundi Tanjung Piai daripada calon Barisan Nasional (BN).

Liew berkata demikian kepada khalayak yang kebanyakannya Cina di Pekan Nanas ketika PH cuba untuk mengetengahkan populariti Wee, seorang calon anak tempatan dan bekas ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Wee tewas kerusi Tanjung Piai dengan hanya 524 undi majoriti di tangan Md Farid Md Rafik, calon PH.

“Wee Jeck Seng wakil Najib. Wee menang, Najib menang. Najib adalah calon sebenar,” kata Liew yang juga timbalan menteri pertahanan, merujuk kepada bekas perdana menteri yang berkait rapat dengan skandal hutang negara.

Najib yang sedang dibicarakan bagi kes penipuan dan penyelewengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), melawat kawasan Tanjung Piai pada 1 November dan menyokong Wee sebagai calon BN.

Wee berdepan lima calon lain pada PRK yang akan diadakan 16 November ini tetapi pesaing terdekatnya ialah Karmaine Sardini yang mewakili kerajaan.

Parti pembangkang termasuk BN dan PAS mengawal 93 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Liew berkata tidak seperti PH yang pernah menjadi pembangkang, BN dan PAS pada masa ini hanya menggunakan retorik perkauman untuk mengkritik kerajaan.

“Masa kita dalam pembangkang kita buat bajet alternatif untuk tunjuk kebolehan kita mentadbir dan menggunakan duit kerajaan sekiranya kita diberi kuasa. Kita membangkang dengan berisi.

“Tapi pembangkang sekarang dia hanya tahu main sentimen agama dan perkauman. Kita dulu lawan atas dasar tapi sekarang dia hanya pakai perkauman. Ini bukan sikap pembangkang yang baik,” katanya.

Liew berkata penggunaan retorik perpecahan bertujuan untuk memecahkan PH supaya BN dan PAS boleh membentuk kerajaan menerusi pintu belakang. – 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen