Pemimpin DAP diminta jaga hubungan dengan Bersatu, kata sumber 


Lee Chi Leong Chan Kok Leong

Satu mesyuarat tertutup akan diadakan bagi membincangkan isu yang dihadapi DAP dan mencari strategi baharu menjawab serangan terhadap parti, kata sumber.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2019.

PEMIMPIN DAP diminta untuk menjaga hubungan dengan Bersatu sehingga pilihan raya kecil Tanjung Piai berakhir, kata sumber parti.

Ahli Parlimen dan Adun turut dinasihatkan agar menghentikan serangan mereka ke atas parti Melayu itu bagi menjaga perpaduan dalam Pakatan Harapan ketika mesyuarat tertutup di ibu pejabat DAP Khamis lalu.

“Pimpinan parti turut menggesa agar semua wakil rakyat untuk menyokong Bersatu,” kata salah seorang ahli Parlimen kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, kenyataan daripada pemimpin Bersatu baru-baru ini menimbulkan rasa tidak senang akar umbi DAP, menjadikan sukar untuk mereka berkempen untuk calon Bersatu, Karmaine Sardini.

Sokongan DAP terhadap Karmaine sangat penting di Tanjung Piai yang mempunyai 57% pengundi Melayu dan 42% pengundi Cina.

Menjelang pilihan raya kecil itu, ahli majlis tertinggi Bersatu yang juga exco Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen menggesa partinya untuk mempertimbangkan semula kerjasama dengan DAP.

Surat terbuka Mohd Rafiq adalah maklum balas kepada kenyataan Adun DAP Ronnie Liu bahawa tanpa Bersatu partinya masih boleh membentuk kerajaan.

Kenyataan kedua-dua pemimpin itu dilihat merosakkan hubungan kedua-dua parti hingga menyebabkan Ketua DAP Johor Liew Chin Tong bersuara mengenai kedua-dua parti yang saling memerlukan.

Seorang lagi wakil rakyat itu yang hadir pada mesyuarat Khamis lalu memberitahu The Malaysian Insight, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berjanji untuk “menyelesaikan” situasi itu secara dalaman.

“Beliau meminta kami untuk tidak lagi membuat kenyataan. Parti mahu kami berhenti buat masa ini dan biarkan setiausaha agung keluarkan kenyataan agar masyarakat tahu pendirian parti.

“Parti turut berjanji untuk mengadakan satu lagi mesyuarat tertutup bagi membincangkan isu yang dihadapi DAP dan mencari strategi baharu bagi menjawab serangan terhadap parti,” katanya.

Seorang lagi ahli Parlimen yang enggan namanya disiarkan membeeritahu The Malaysian Insight bahawa, mereka turut diingatkan agar tidak memberi kenyataan berhubung isu peralihan kuasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mengelakkan pergeseran dengan Bersatu.

DAP yang sebelum ini lantang bersuara terhadap kerajaan, menerima tekanan daripada akar umbinya kerana berdiam diri dalam beberapa isu.

Antara itu yang memberi kesan kepada parti itu sejak mendapat kuasa adalah berhubung pemberian kuota matrikulasi kepada bukan Melayu dan pelajaran jawi di sekolah vernakular.

Satu lagi isu yang memberi kesan terhadap parti itu sejak beberapa minggu lalu adalah penahanan lima pemimpin DAP dan tujuh yang lain di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa cuba menghidupkan kembali kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). – 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen