Umno Tanjung Piai tak akan sabotaj saya, kata Wee


Khoo Gek San

Calon MCA, Wee Jeck Seng ketika bertemu pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2019.

CALON MCA, Wee Jeck Seng menepis kemungkinan disabotaj ahli Umno tempatan, sebaliknya berkata beliau mempunyai hubungan baik dengan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Jefridin Atan.

Isu sabotaj timbul selepas Umno Bahagian Tanjung Piai mencadangkan Jefridin sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan mengugut tidak akan keluar mengundi jika ketua mereka tidak dipilih.

Bercakap kepada media berbahasa Cina, Wee berkata bukan sesuatu yang mengejutkan jika Umno Bahagian Tanjung Piai mahu pemimpin mereka dipilih sebagai calon BN.

Bagaimanapun, BN mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi pemilihan calon, katanya.

“Hubungan saya dengan beliau (Jefridin) baik. Takkanlah beliau nak sabotaj saya?

“Tidak kira apa yang berlaku, BN ada konsensus. Majlis Tertinggi BN perlu memilih calon. Sudah diputuskan yang saya akan bertanding pada PRK dan saya tak fikir Umno akan sabotaj saya. Saya tak ada masalah dengan mereka,” jelas Wee.

Wee, ahli Parlimen Tanjung Piai dari 2008 hingga 2018, berkata semua penduduk di kawasan parlimen itu sudah seperti keluarga, tanpa mengira kaum.

Beliau berjanji akan berkhidmat kepada pengundi dengan sebaik mungkin sekiranya menang pada PRK yang akan diadakan pada 16 November ini.

“Ini merupakan kali pertama pertembungan enam penjuru di Tanjung Piai sejak kerusi ini diwujudkan. Saya tidak akan komen mengenai calon lain, Saya akan buat kerja dengan baik,” katanya.

Menurut Wee, walaupun pengundi memilih Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, beliau masih mempunyai peluang untuk memenangi pada PRK ini.

Wee kalah kepada Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu yang menang dengan majoriti 524 undi pada PRU14.

Kerusi Tanjung Piai kosong berikutan kematian Md Farid akibat serangan jantung pada September. – 5 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen