PAS tak restu Berjasa tanding Tg Piai, kata Hadi


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, kajian mengenai kerjasama dengan Berjasa akan dilakukan dari masa ke semasa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2019.

PAS tidak memberi persetujuan kepada Presiden Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz bertanding PRK Tanjung Piai, tegas Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata Abdul Aziz sememangnya berhak untuk bertanding tertapi ia tidak mendapat restu dari parti Islam itu.

“Kita tidak setuju dia (Presiden Berjasa) bertanding. Itu terpulang kepada dia (untuk bertanding). Dan kita tidak setuju dia bertanding,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya sekiranya PAS adakah akan mengkaji semula kerjasama dengan Berjasa, Hadi berkata: “Ia akan dilakukan dari masa ke semasa.”

Beliau menegaskan pendirian PAS mengenai tindakan rakan parti dalam Gagasan Sejahtera itu untuk bertanding menentang BN dalam PRK Tanjung Piai.

Gagasan Sejahtera merupakan pakatan yang mendakwa sebagai blok kuasa ketiga dan diwujudkan pada 2016. Pakatan itu dianggotai PAS, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Di satu pihak lagi, PAS bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional dan menandatangani piagam khas berhubung kerjasama itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada Sabtu lalu mengeluarkan arahan kepada semua ahli parti untuk mengundi calon BN dari MCA, Wee Jeck Seng. – 4 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen