Belanjawan 2020 lulus, isu 1MDB dan Najib masih belum reda


Chan Kok Leong

Pembangkang yang diketuai oleh BN masih tidak mengakui 1MDB adalah satu skandal dan tidak membenarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bercakap mengenainya di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2019.

SELEPAS lebih 17 bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya dari Barisan Nasional (BN), kedua-dua pihak masih tertumpu kepada isu skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Persoalan utamanya adalah sama ada 1MDB satu penipuan atau tidak.

BN menegaskan 1MDB bukan penipuan manakala PH pula kekal dengan pendirian bahawa dana pelaburan negara itu punca kepada hutang negara yang tinggi dan beberapa perjanjian yang meragukan.

Walaupun perbicaraan 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak kini masuk hari ke-30, pembangkang yang diketuai oleh BN masih tidak mengakui 1MDB adalah satu skandal dan tidak membenarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bercakap mengenainya di Dewan Rakyat.

“Kes masih berjalan di mahkamah dan belum diputuskan lagi,” kata Noh Omar (Tanjung Karang-BN).

Noh bersama Annuar Musa (Ketereh-BN), Shahidan Kassim (Arau-BN) dan Ahmad Maslan (Pontian-BN) bertemu Speaker Mohamad Ariff Md Yusof, memohon supaya Lim berhenti merujuk kepada isu 1MDB kerana kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

Semuanya bermula ketika Najib tiba ketika Lim menggulung perbahasan Belanjawan 2020.

Ketika ahli Parlimen itu masuk ke Dewan, seorang ahli Parlimen berteriak, “1MDB datang”.

Walaupun R.S.N. Rayer (Jelutong-PH) berkata beliau yang berteriak, tetapi pembangkang menuding kepada Lim dan meminta menteri itu menarik balik kenyataan.

“Tiada jawapan penyelesaian kepada masalah kita kerana mereka masih lagi menafikan 1MDB adalah satu masalah. Walaupun Jho Low mengambil keputusan untuk menyelesaikan kesnya di Amerika Syarikat dengan memulangkan aset bernilai AS$1 bilion, mereka masih menafikan.

“Dan 1MDB masih satu masalah yang menyebabkan masalah lain. Jika tidak, kita tidak akan membayar 88% daripada kos atau RM8.3 bilion untuk saluran paip gas sedangkan tiada kerja dilaksanakan” kata ahli Parlimen Bagan itu, merujuk kepada projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang ditandatangani semasa pentadbiran BN.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali Ariff memberi amaran, Lim dibenarkan meneruskan penggulungan sehinggalah Najib berdiri dan bertanya mengenai hutang yang dikumpul oleh PH selepas setahun memerintah. – 4 November, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen