DANA dari program ditubuhkan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat India disalah guna oleh seorang bekas menteri dan dua bekas timbalan menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana P. Waytha Moorthy.
“Memang benar bahawa terdapat rungutan berasas mengenai dana yang dikemukakan semasa pemerintahan BN dulu tidak sampai kepada golongan sasaran, tetapi saya dinyatakan di sini bahawa kita dapati tiada dana yang disalurkan kepada MIC,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
“Bagaimanapun saya ingin nyatakan di sini bahawa berlaku salah laku dalam penyaluran dana dan sejumlah daripadanya disampaikan terus kepada seorang bekas menteri dan dua bekas timbalan menteri. Perkara ini masih dalam siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).”
Waytha tidak mendedahkan identiti tiga individu tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Jelutong-PH Sanisavara Nethaji Rayer yang bertanya sama ada MIC mendapat dana Program Pembangunan Sosioekonomi (Sedic).
Memetik Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, Waytha berkata audit yang dijalankan ke atas semua program Sedic mendapati tiada rekod menunjukkan siapakah penerima dana itu.
“Berlaku banyak penyelewengan dan salah guna. SPRM sedang menyiasat semua ini,” katanya.
Sedic dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Mitra untuk pelaksanaan pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat India, terutamanya golongan B40. – 4 November, 2019.
Komen