DISEBABKAN “persekitaran istimewa”, 1.6 juta penjawat awam diperlukan di Malaysia, kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini.
Najib berkata perkhidmatan awam di Malaysia termasuklah guru, askar, polis serta kakitangan kesihatan tidak seperti negara lain yang mengecualikan beberapa perkhidmatan daripada kategori perkhidmatan awam.
“Ada negara mereka tak masukkan tentera dan polis, tetapi kita masukkan semua orang dan saya mahu beritahu anda yang guru sahaja seramai 445,000 hingga 450,000.
“Satu lagi sebab adalah kita ada tiga jenis sekolah. Bila anda ada tiga jenis sekolah anda perlukan lebih ramai guru,” katanya pada sesi soal jawab Chinese Youth Summit yang diadakan di Serdang, Selangor hari ini.
Najib yang menjawab soalan berkaitan dengan perkhidmatan awam Malaysia yang dikatakan terlalu ramai, berkata yang jumlah guru itu dijangka akan terus meningkat kerana permintaan supaya lebih banyak sekolah dibina.
Katanya, jumlah kakitangan kesihatan pula sekitar 230,000, diikuit dengan 117,000 anggota polis dan 115,000 tentera.
“Jadi bila anda masukkan guru, polis, tentera, kakitangan kesihatan, anda hanya ada 680,000 orang. Perkhidmatan awam kita tak terlalu ramai sebenarnya. Ia mungkin besar, saya setuju tetapi jika anda lihat jumlah itu, ia tidak terlalu ramai. Jangan lupa kita bercakap tentang tiga kawasan, Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Jadi itulah sebab mengapa kita ada 1.6 juta (kakitangan awam). Bukannya kerana kita mahu perkhidmatan awam yang besar tetapi persekitaran istimewa yang kita hadapi di negara ini,” katanya menambah yang saiz itu masih boleh diuruskan selagi mana ekonomi berkembang dan perolehan terus meningkat.
“Saya mahu rakyat sedar yang mereka (penjawat awam) wujud untuk berkhidmat kepada rakyat, untuk melindungi anda, untuk mendidik anak-anak anda dan memastikan anda dapat perkhidmatan kesihatan yang baik di negara ini.”
April lalu, Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul berkata dalam sebuah wawancara yang Malaysia adalah antara negara yang mempunyai nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk tertinggi di dunia iaitu seorang penjawat awam untuk 19.37 rakyat sementara Singapura pula adalah 1:71.4 dan Indonesia adalah 1:110.
Menurut jumlah yang diperolehi daripada pelbagai laporan kerajaan, perbelanjaan sektor awam (termasuklah gaji, elaun dan faedah) meningkat 138% daripada RM32.5 juta kepada RM77.4 juta (anggaran) pada 2017.
Ketika perbelanjaan meningkat dua kali ganda, perolehan kerajaan pula hanya berkembang 56% daripada RM139.9 bilion pada 2007 kepada RM219.7 bilion pada 2017.
Pada 2007, perbelanjaan untuk perkhidmatan awam menelan 23% perolehan kerajaan dan sepuluh tahun kemudian pada 2017, ia meningkat kepada 35%.
Perbelanjaan ini juga menyaksikan pertumbuhan dua angka menjelang pilihan raya umum. Pada 2008, perbelanjaan bertambah pada kadar 25.89% sementara pada 2012 kadar itu meningkat kepada 19.68%. – 21 Oktober, 2017.
Komen