PAS pun sokong calon bukan Melayu, kata Hishammuddin


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein bersama calon BN PRK Tanjung Piai Wee Jack Seng melawat perkampungan di Tanjung Piai kelmarin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2019.

BEKAS naib presiden Umno Hishammuddin Hussein memujuk pengundi parti itu di Tanjung Piai menerima MCA Wee Jack Seng untuk bertanding.

Katanya, pengundi Melayu tidak patut menolak calon keturunan Cina itu kerana PAS sendiri boleh menyokong calon bukan Melayu di kerusi itu.

“Walau ada Penyatuan Ummah dengan PAS dan Umno boleh terima MCA, saya harap pengundi Tanjung Piai boleh terima sahabat saya dan kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi memujuk akar umbi Umno yang menuntut wakil parti itu dipilih sebagai calon untuk kawasan dengan 57% pengundi Melayu itu.

Umno bahagian itu juga mendesak calon Melayu menggantikan Wee Jeck Seng, yang tewas dalam PRU14.

Wee penyandang dua penggal kerusi itu sebelum ditewaskan timbalan ketua Bersatu bahagian Bersatu Tanjung Md Farid Md Rafiq dengan majoriti 524 undi.

Hishammuddin ketika bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini juga berkata keputusan meletakkan calon MCA membuktikan Umno bukan parti perkauman.

“Saya lega untuk Tanjung Piai ini. Yang penting BN buktikan tuduhan bahawa kita bukan parti perkauman.

“Saya tengok penerimaan jentera dan orang Melayu akan membuka landskap politik baru dalam Malaysia,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan ekoran kematian penyandang, Farid yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada bulan lalu.

Enam calon disahkan bertanding dalam PRK tersebut yang akan berlangsung pada 16 November. – 4 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen