TEKANAN ekonomi yang menghimpit syarikat media pada waktu ini akan menyuburkan lagi kewartawanan kritis dan memberi makna baharu kepada nilai berita
Ia tidak akan menjejaskan kebebasan media dan tidak akan merugikan rakyat, kata Pensyarah Universiti Nottingham Malaysia, Zaharom Nain kepada The Malaysian Insight.
Beliau berpendapat, kemelut melanda firma seperti Utusan Melayu (M) Bhd dan Media Prima tidak menjadi faktor terjejasnya kebebasan media kerana firma terbabit memang sudah lama tidak menjuarai isu kebebasan media.
“Mungkin ramai berpendapat bahawa kedua-dua institusi ini jarang sekali, dalam beberapa dekad kebelakangan ini menjuarakan kebebasan dan hak kebebasan media.
“Syarikat gergasi seperti Utusan dan Media Prima berasaskan naungan politik. Sistem sedemikian bertentangan dengan konsep media bebas, kritis dan yang menyediakan perkhidmatan awam untuk masyarakat.
“Sistem ini, sebaliknya dikawal oleh kerajaan dan pasaran,” tambahnya, mengulas nasib Utusan yang gulung tikar dan memberhentikan kira-kira 800 kakitangannya pada bulan lalu
Syarikat gergasi Media Prima pula mengumumkan akan memberhentikan lebih ramai kakitangannya pada suku pertama tahun depan untuk mengatasi masalah kewangannya.
Jelas Zaharom, rakyat mahupun kerajaan tidak berasa rugi dengan keadaan yang berlaku kepada firma berkenaan kerana hanya kakitangan tersebut yang menjadi mangsa.
Sebaliknya, kejayaan media baharu dalam membuat liputan lebih adil akan mendorong kewartawanan yang kritis, katanya.
“Ia mungkin dapat memperkenal dan mempopularkan sifat kewartawanan yang lebih terbuka, kritis dan yang menilai dan mempersoalkan tindak tanduk mereka yang berkuasa
“Mungkin sudah sampai masanya di mana wartawan berhenti menjadi pak turut dan mula menilai keadaan dan berita dengan (pandangan) yang lebih tajam,” jelas beliau.
Namun seorang lagi pengkaji memberitahu The Malaysian Insight, masalah yang membelenggu Utusan dan Media Prima itu sedikit sebanyak akan melemahkan sistem demokrasi.
Ini kerana, peranan media sebagai kuasa keempat dalam mengawasi kuasa kerajaan akan luntur, kata pensyarah kewartawanan Universiti Sains Malaysia Nik Norma Nik Hassan.
“Media sepatutnya menjadi suara kepada rakyat tetapi, keadaan ini akan mengganggu sistem demokrasi kerana tidak wujud banyak pandangan, informasi, dan kurang artikel yang diterbitkan.”
Pensyarah di Sekolah Komunikasi USM itu juga berkata, penyebaran berita palsu juga akan semakin berleluasa kerana tidak banyak media yang dapat menyemak kesahihannya.
“Berita-berita palsu akan tersebar bukan hanya dalam politik tetapi hiburan atau isu-isu alam sekitar.
“Masyarakat akan lebih terdedah dengan lebih besar kerana budaya kita sekarang selepas baca, akan dikongsikan, dan kurang semak ketulenan sesuatu berita,” tambahnya.
Katanya lagi, kemerosotan dalam industri seperti yang menyebabkan Utusan Melayu (M) Bhd gulung tikar dan gergasi Media Prima memberhentikan ramai pekerja tidak mengejutkan.
Keadaan sama berlaku di seluruh dunia sejak beberapa tahun lalu ekoran tekanan ekonomi dan ledakan era digital yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat melalui pelbagai sumber.
“Fenomena ini bukan di Malaysia sahaja berlaku malah di negara-negara Barat, termasuk pada tahun 2015-2017 akhbar terkenal di Australia, Fairfax juga mengurangkan pekerja mereka,” katanya.
Pertubuhan Gerakan Media Merdeka (Geramm) pula berpendapat perkembangan itu memberi cabaran besar kepada wartawan yang kini perlu bersaing lebih sengit dengan penyebar berita palsu di media sosial.
Jurucakap Geramm, Radzi Razak berkata keadaan itu akan menyebabkan kuasa media untuk menyampaikan suara golongan minoriti dan masyarakat akar umbi akan terjejas.
“Pengecilan operasi syarikat itu boleh dilihat sebagai bukti suara wartawan dikurangkan kerana semakin ramai tiada kerja dan ruang untuk mereka yang mungkin tidak dapat bersuara di lapangan lain.
“Media bukan setakat berperanan untuk semak imbang, ia juga berperanan menyampaikan suara daripada kekecewaan golongan minoriti, ia bukan hanya soal bilangan wartawan berkurangan tetapi juga syarikat media.
“Oleh itu, kuasa media sebagai kuasa keempat juga akan terjejas,” jelas beliau.
Dalam satu kenyataan, Geramm juga bimbang pemberhentian besar-besaran kakitangan kumpulan media itu akan menjatuhkan nilai kewartawanan di Malaysia.
“... Ini akan membunuh pengaruh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ). Ia juga seturusnya menurunkan standard kewartawanan di Malaysia,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Penyelidik Institut Penang, Izzudin Ramli pula berkata, perkembangan itu perlu dilihat secara positif oleh syarikat media yang lain.
“Media boleh mengajak pembacanya bukan sekadar menjadi penerima maklumat tetapi mereka juga boleh memproses maklumat bersama.
“Ia sebagai satu kaedah untuk bentuk perhubungan antara media dengan masyarakat,” jelasnya. – 4 November, 2019.
Komen