BUKAN satu masalah besar bagi PKR jika mahu memecah tradisi tidak menjemput timbalan presiden parti merasmikan kongres nasional sayap tahun ini, namun ia tidak wajar, kata akar umbi parti di Wilayah Persekutuan.
Amalan itu hanya satu tradisi, yang boleh berubah mengikut keadaan, kata mereka.
Namun mengubahnya sekarang untuk “mengajar” Mohamed Azmin Ali boleh menyebabkan parti berpecah teruk, kata bekas Ketua Wanita PKR Batu, Norshita Md Zain.
Norshita tidak setuju dengan usaha sayap pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dikatakan tidak mahu Azmin merasmikan kongres nasional mereka kerana beliau selalu membuat kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti.
Jelas Norshita, walau apa perbezaan pun antara pimpinan, PKR tidak patut jadi seperti Umno yang mengetepikan Muhyiddin Yassin, ketika itu timbalan presiden, semasa perhimpunan agung parti itu pada 2015.

Lima bulan sebelum perhimpunan itu, Muhyiddin digugurkan dari kabinet Najib Razak kerana mengkritik bekas perdana menteri dan hubungan beliau dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Bila jadi keadaan macam ini, akan jadi berpecah belah macam Umno. Sebagai orang lama tidak wajar timbalan presiden dinafikan hak untuk merasmikan kongres sayap seperti tradisinya.
“Saya juga tidak sokong apa yang dilakukan oleh timbalan presiden tetapi kita tidak mahu parti berpecah.
“Perpecahan itu memang ada tetapi janganlah ditunjukkan kepada orang luar,” kata Norshita kepada The Malaysian Insight.
Minggu lalu, The Malaysian Insight memetik sumber dalaman parti mendedahkan AMK mahu menjemput bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga timbalan perdana menteri, merasmikan kongresnya.
Sayap Wanita pula mahu menjemput Azmin, menyebabkan ada pertembungan yang tidak memungkinkan kongres sayap dirasmikan serentak.

Keputusan Pemuda PKR itu bertujuan “menghantar mesej kepada Azmin” yang didakwa kerap membuat kenyataan membelakangkan parti.
Azmin dilihat mengeruhkan hubungan dengan pimpinan parti apabila tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR mahupun mesyuarat mingguan biro politik parti.
Beliau juga dianggap terlibat dalam gerakan cuba menghalang peralihan kuasa Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan.
Sejak kelmarin juga, sebuah poster mula tersebar di media sosial mengalu-alukan “Kak Wan” untuk merasmikan Kongres AMK 2019 yang akan berlangsung di Melaka pada 6 Disember ini.
Timbalan Pengerusi Tetap PKR, Othman Karim ketika ditemui The Malaysian Insight memberitahu pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu.
Bagaimanapun kata Othman, isu yang timbul hanya persoalan tradisi kerana keputusan akhirnya bergantung kepada presiden dan Majlis Pimpinan Pusat.
“Tidak ada masalah timbalan presiden ditugaskan untuk merasmikan kongres sayap kerana presiden perlu memberi tumpuan kepada kongres utama.
“Tetapi tidak semestinya orang nombor dua (timbalan presiden). Siapa-siapa di tampuk atas pun boleh. Itu hanya tradisinya.
“Setakat ini kita tidak ada info lagi tentang keputusan ini. Tidak ada apa-apa maklumat,” katanya.

Ahli AMK Kepong, Hanzalah Zullkeflee turut menyifatkan siapa yang merasmikan kongres sayap parti tidak harus jadi isu besar.
Katanya, kalau ada perubahan sekali pun berbanding amalan sebelum ini, ia menunjukkan keterbukaan parti untuk melakukan pembaharuan.
“Jika tradisi diubah, timbalan presiden tidak merasmikan sayap, itu bukanlah gambaran ini kemuncak kepada konflik… tidak.
“Mungkin disebabkan keterbukaan PKR pada hari ini,” katanya. – 4 November, 2019.
Komen