Pantau kutipan wang untuk bina institusi agama, kata menteri


Zaim Ibrahim

Mujahid kecewa kerana terdapat beberapa pihak yang meminta sumbangan atas nama agama Islam tetapi mempunyai motif keuntungan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2019.

SUMBANGAN dana bagi pembinaan institusi agama perlu dikawal pihak berkuasa jabatan agama dan dipantau oleh polis dan agensi antirasuah, kata Mujahid Yusof.

Menteri hal ehwal agama itu berkata, jabatan agama negeri juga perlu bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memastikan dana berkenaan tidak diseleweng.

Kes penyelewengan tersebut, seperti yang didakwa berlaku dalam pembinaan Kompleks Pendidikan Darul Anwar (KPDA) di Titi Serong di Parit Buntar, Perak juga perlu dikenakan tindakan tegas, katanya.

“Kes seperti ini banyak berlaku dan kejadian di Titi Serong perlu diambil tindakan tegas untuk menjadi contoh kepada orang lain.

“Memang perlu satu unit atau badan khas supaya kita boleh ambil tindakan mereka yang menyalahgunakan (dana) orang awam,” kata Mujahid kepada The Malaysian Insight.

Kompleks Pendidikan Darul Anwar yang mula dibina pada 2011 itu sepatutnya menempatkan sekolah tahfiz, pusat jagaan anak yatim dan golongan mualaf.

Namun sehingga kini projek di tapak seluas 1.6 hektar itu masih belum dimulakan dan wang hasil sumbangan orang ramai juga menjadi tanda tanya.

Mengulas lanjut, Mujahid juga kecewa kerana terdapat beberapa pihak yang meminta sumbangan atas nama agama Islam tetapi mempunyai motif keuntungan.

“Mereka memberi gambaran yang buruk bahawa orang yang nak bina masjid, tahfiz sebagai penipu,” kata beliau.

Kompleks Pendidikan Darul Anwar yang mula dibina pada 2011 itu sepatutnya menempatkan sekolah tahfiz, pusat jagaan anak yatim dan golongan mualaf. – Gambar The Malaysian Insight, 3 November, 2019.

Mujahid menjelaskan, setakat ini agensi agama berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai sumber yang cukup untuk memantau dana berkenaan.

Beliau memberi contoh, Jakim pada masa ini hanya mempunyai unit pemantauan kokurikulum dan sukatan pendidikan sekolah tahfiz dan tidak terlibat dalam soal penyaluran dana.

“Jabatan agama negeri sahaja tidak cukup kakitangan, perlu ada kerjasama daripada kerajaan pusat.

“Jakim pula setakat ini tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk tubuh satu lagi badan khas memantau penyaluran dana.

“Sebab itu saya katakan, perlu ada kerjasama termasuklah pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis kerana isu ini melibatkan dana orang ramai,” jelasnya lagi.

Projek Kompleks Pendidikan Darul Anwar (KPDA) di Titi Serong di Parit Buntar, Perak sepatutnya bermula pada 2011. – Gambar The Malaysian Insight, 3 November, 2019.

Mujahid juga menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan menyemak pusat tahfiz yang memohon dana untuk memastikan pusat itu berdaftar secara sah.

Pembinaan kompleks pendidikan itu merupakan projek bekas Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah yang kini merupakan pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak.

Kutipan dana untuk pembinaan itu dijalankan Idhamcare, satu NGO yang ditubuhkan Khalil Idham pada Oktober 2011 bagi membeli tanah dan membina kompleks berkenaan.

Mengikut cadangan, KPDA dianggarkan disiapkan pada 2013, namun sehingga hari ini tiada sebarang pembinaan dilakukan.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati, sebuah papan tanda telah didirikan tetapi tiada lagi sebarang kenyataan tentang projek tersebut.

Malah tanah yang bersebelahan dengan kawasan sawah padi itu ditinggalkan kosong serta sisa tanah, simen dan pasir didapati terbiar di tapak tersebut.

Dalam satu temubual disiarkan sebuah akhbar pada 2013, Khalil Idham menjelaskan, Idhamcare berjaya mengumpul RM200,000 untuk membeli tanah seluas 0.7 hektar bernilai RM 102,000.

Dalam laporan tersebut, beliau mengakui projek itu masih belum berjalan disebabkan masalah geran tanah yang mempunyai 11 penama.

Beliau mensasarkan projek pembinaan KPDA  dapat dimulakan pada 2014, tetapi ia tetap belum berjalan hingga ke hari ini.

Risalah KPDA pada masa itu juga menyatakan orang ramai boleh menderma melalui akaun Maybank, 558417102650 atas nama Idham Care namun akaun tersebut didapati tidak lagi aktif.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati, sebuah papan tanda telah didirikan tetapi tiada lagi sebarang kenyataan tentang projek tersebut. – Gambar The Malaysian Insight, 3 November, 2019.

Beberapa penduduk di Titi Serong, Parit Buntar memberitahu, mereka tahu tentang rancangan pembinaan KPDA dan hairan kenapa masih tiada pembinaan dijalankan.

Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah agama berhampiran tapak KPDA, Idris Sidek berkata beliau telah lama mendengar tentang perancangan untuk membina kompleks berkenaan.

Namun beliau hairan mengapa kompleks itu masih belum dibina dan apakah yang berlaku dengan wang hasil sumbangan orang ramai.

“Saya dengar pusat pendidikan itu dibina dengan konsep seni budaya kaum Cina. Waktu awal-awal nak bina, memang dengarlah tapi selepas itu tidak dengan apa-apa lagi.

“Saya tidak pasti kenapa ia belum dibina, tapi saya dengar disebabkan masalah pemilikan tanah. Tanah lot itu mempunyai beberapa tuan dan mereka tidak mahu menjual tanah tersebut.

“Yang hairannya, duit sumbangan orang ramai itu pergi mana?” soal Idris, 63, ketika ditemui di Parit Buntar.

Seorang penduduk tempatan, Nakhaie Abdul Wahab pula mendedahkan maklumat projek tersebut memang dinyatakan di papan tanda projek itu pada 2011, tetapi ia tidak lagi dapat dilihat.

“Penduduk sini hanya dengar ketika mahu buka iaitu pada 2011. Selepas itu, (Khalil) lancarkan jualan amal Quran Digital berharga RM300 yang separuh daripadanya akan digunakan untuk beli tanah wakaf.

“Sampai sekarang tiada berita. Ada yang mahu tahu perkembangan projek itu tetapi apabila sudah terlalu lama, orang pun diamlah,” jelas Nakhaie, 33.

Salah seorang penyumbang derma, Shafie Ismail, 73, [pula berkata beliau redha jika kompleks itu tidak dapat didirkan.

Jelasnya, beliau menderma atas niat ibadat kepada Tuhan dan jika Khalil tidak berjaya membina KPDA, ia adalah urusannya dengan Tuhan.

“Saya tak rasa apa-apalah, saya redhalah. Saya derma bukan sebab dia tapi sebab ibadat.

“Untuk isu itu, itu urusan dia dengan Allah lah. Saya tak lah rasa kecewa, masalah itu pun mungkin bukan sengaja Khalil Idham mahu buat,” kata beliau.

The Malaysian Insight telahpun berusaha mendapatkan komen Khalil Idham untuk laporan ini. – 3 November, 2019. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen