JDT juara Piala Malaysia 2019


Zaim Ibrahim

Johor Darul Ta'zim berjaya menjulang Piala Malaysia selepas membenam pasukan Kedah dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 2 November, 2019.

PASUKAN dari selatan tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjulang Piala Malaysia selepas membenam pasukan Kedah dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

JDT berjaya mengulangi episod akhir Piala Malaysia 2017 apabila mudah mengatasi Kedah, 3-0.

Dua gol dihasilkan pada separuh masa pertama dan satu gol lagi pada separuh masa kedua.  

Taktikal dan permainan yang kemas skuad bimbingan Benjamin Mora itu terserlah sejak minit keempat lagi apabila cubaan pertama daripada tandukan Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak berpunca sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid tetapi dihalang tiang gol Kedah.

Corak permainan JDT  terus garang apabila jurulatih mereka membawa masuk penyerang tempatan Syafiq Ahmad pada minit ke 24 menggantikan Diogo Luís Santo.

Beliau kemudiannya terlibat dalam pergerakan cantik dengan Gonzalo Cabrera yang menyaksikan jaringan pertama dihasilkan oleh pemain tengah JDT Leandro Velazuez.

Velazuez menjaringkan gol hasil hantaran mengelirukan daripada penyerang JDT Gonzalo Cabrera yang menyebabkan kekeliruan berlaku antara barisan pertahanan Kedah.

Ketiadaan dua tonggak utama pertahanan Kedah, Renan Alves dan Rizal Ghazali akibat penggantungan satu perlawanan ternyata memberi kesan lebih-lebih lagi pertahanan kiri Azmeer Yusof terpaksa dikeluarkan pada minit ke-17 ekoran kecederaan.

Kedah cuba untuk bangkit pada minit ke 32 apabila kapten mereka Baddrol Bakhtiar hampir menyamakan kedudukan melalui tandukan tetapi sedikit tersasar.

Kedah terus ditimpa malang apabila pemain sayap JDT Safawi Rasid menerjah gawang melalui bola lencong daripada sepakan percuma, menewaskan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-34.

Jaringan itu melengkapkan jaringan Safawi ke-11 bagi kempen Piala Malaysia.

Kombinasi padu membabitkan Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad hampir menambah derita Kedah di akhir separuh masa pertama tetapi mujur sepakan Syafiq tidak tepat.

Sekalipun Kedah cuba bangkit pada separuh masa kedua, JDT kekal dengan kelas tersendirinya apabila Syafiq menanduk masa bola menewaskan Ifwat pada minit ke 57 hasil hantaran lintang Mohd Afiq Fazail.

Skuad Helang Merah tetap tidak berputus asa dengan cuba melakukan beberapa serangan tetapi disiplin tinggi daripada barisan pertahanan diketuai Aidil Zafuan dan penjaga gol Farizal Marlias menggagalkan misi Kedah.

Pada minit ke-81, Baddrol cuba menewaskan Farizal Marlias melalui sepakan percuma tetapi diselamatkan Farizal.

Gelaran itu melengkapkan kabinet trofi JDT apabila mereka merangkul kejuaraan Liga Super 2014, 2015, 2016, 2017, 2018 dan musim ini, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015 dan 2016 serta Piala AFC 2015.

Kemenangan JDT ini juga hadiah manis kepada kaptennya Harris Harun yang melengkapkan gelaran yang pernah dimenanginya sepanjang bersama JDT sejak 2014 - enam kali juara Liga Super, satu Piala FA, empat Piala Sumbangsih dan satu Piala AFC.

Susulan kemenangan piala berprestij itu Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani mengumumkan pemberian cuti khas pada 3 November sebagai tanda penghargaan kepada pasukan JDT.  – 2 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen