KERAJAAN perlu mengambil berat dakwaan DAP bahawa parti itu menjadi sasaran pihak berkuasa yang cuba mengaitkannya dengan dengan kumpulan pengganas, kata Anwar Ibrahim.
Beliau juga menegaskan, penahanan 12 individu termasuk Adun DAP mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bertentangan dengan pendirian PH.
Presiden PKR itu mengulas kenyataan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mengenai tindakan ke atas anggota partinya yang dikaitkan dengan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
“Kebimbangan dan keresahan yang disuarakan oleh Guan Eng itu harus diberi perhatian oleh pimpinan parti Pakatan Harapan dan kerajaan.
“Kalau terkait dengan penahanan Sosma, saya telah jelaskan dan parti telah buat pendirian, pertama minta disenaraikan badan-badan yang dikategorikan sebagai pengganas.
“Keduanya harus faham secara konsisten kita telah persoal beberapa peruntukan dalam Sosma yang dianggap bertentangan dengan semangat dan proses kebebasan undang-undang,” katanya.
Anwar bercakap dalam sidang media selepas hadir dalam Konvensyen Keadilan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.
Dua pemimpin DAP yang ditahan dalam operasi berkaitan pengganas LTTE itu adalah Adun Gadek yang juga exco kerajaan Melaka G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran.
Lim dalam kenyataannya semalam menyifatkan penahanan mengikut undang-undang Sosma itu tidak berasas dan mengaitkannya dengan tindakan “daulah terpendam” dalam kerajaan.
Pemimpin kerajaan juga tampil mempertahankan DAP, seperti presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menafikan parti berkenaan ada kaitan dengan LTTE.
Katanya, parti DAP tidak patut dikaitkan dengan LTTE kerana hanya kebetulan segelintir pemimpin parti berkenaan dikaitkan dengan isu bekenan
Selain isu LTTE, DAP juga menerima tekanan ekoran penyebaran komik propaganda komunis China di sekoleh, yang diterbitkan bekas pemimpin parti tersebut.
Komik berkenaan diharamkan kerajaan dan disekat daripada diedarkan ke sekolah. Penerbitnya, pelukis dan penulisnya juga disiasat.
Buku tersebut juga antara lain memaparkan ilustrasi mengaitkan orang Islam dengan kumpulan pengganas
Tindakan pengharaman itu bagaimanapun dikecam Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang mendakwa operasi tersebut dibuat secara melulu.
Mengulas mengenai isu mempromosi fahaman komunisme, itu Lim pula semalam membangkitkan mengenai penglibatkan bekas menteri kerajaan dalam majlis Parti Komunis China.
Katanya pemimpin BN seperti setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas presiden MCA Liow Tiong Lain pernah berucap di majlis Parti Komunis China.
Selain itu pemimpin MCA juga pernah mengikut latihan di akademi parti itu, dakwanya. – 2 November, 2019.
Komen