PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menegaskan partinya tidak bermasalah sebaliknya tanggapan parti itu ada masalah datang dari sikap kelompok kecil ahli dan pimpinan parti.
Sikap dan tindakan kelompok kecil itu bagaimanapun tidaklah boleh dipakai untuk menghukum parti sebagai bermasalah, katanya ketika berucap di Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan hari ini.
Jelas Anwar, beliau tidak mahu tanggapan negatif terhadap parti menjejaskan tumpuan ahli untuk komited pada agenda reformasi untuk rakyat.
“Apa masalahnya, 90 peratus bersama parti, 90 peratus bersama kepimpinan. Masalah apa?
“Saudara yang 90 peratus ini tetapkan suara rakyat suara keramat… membujur lalu melintang patah… lawan tetap lawan… lawan sampai menang,” katanya melaungkan slogan perjuangan parti, menutup ucapannya petang tadi.
Dalam ucapannya Anwar membentangkan analisis ekonomi semasa Malaysia serta pengagihan kekayaan yang dikutip daripada dapatan beberapa pakar yang menunjukkan kesenjarangan dan jurang sosioekonomi antara rakyat.
Katanya, jurang bukan saja wujud antara kaum Melayu dan bukan Melayu tetapi juga makin melebar dalam kalangan kaum Melayu sendiri.
Jelas beliau, jurang itulah yang perlu ditangani dengan seluruh ahli dan pimpinan parti memberikan perhatian untuk menjayakan agenda kerajaan setelah parti menang pilihan raya lebih setahun yang lalu.

“Tak usah kiralah satu dua yang ngok ngek ngok ngek. Semua cabang hadir (pada konvensyen hari ini).
“Biasalah, mana boleh (dapat sokongan) 100 peratus. You ketua cabang? You pun tak semua 100 peratus ahli sokong… samalah macam saya presiden,” katanya.
Wilayah Persekutuan adalah negeri keempat mengadakan konvensyen parti tahunan selepas bermula di Pulau Pinang pada 13 Oktober lepas diikuti Johor dan Sabah.
Dalam mesej yang dilihat ditujukan kepada “satu dua” atau kelompok kecil 10 peratus dalam parti itu, Anwar berkata, kedudukan mereka yang memegang jawatan atau menang pilihan raya umum yang lalu adalah kerana parti.
“Cuba bertanding balik sebagai calon bebas. Saya sendiri bertanding bebas pun belum tentu menang.
“Kita menang kerana kita bertanding atas nama Keadilan. Saudara jadi calon kerana Keadilan. Saudara diangkat dan dikenali di negara ini kerana parti,” katanya.
Anwar juga mengingatkan mereka yang memegang jawatan supaya tidak mengamalkan nepotisme dan kronisme.
“Jangan lupa. Jangan apabila sudah dapat kuasa maka jawatan hendak diagih-agihkan kepada ‘orang-orang aku’.
“Orang-orang aku itu semua anggota Keadilan. Kalau ada semangat ini, kita akan kuat,” katanya.
Diminta menjelaskan ucapannya, Anwar dalam sidang media menjelaskan pengagihan kepada “orang-orang aku” itu adalah peringatan kepada semua termasuk dirinya sendiri “yang menjadi presiden atas dukungan ahli”.
“Dalam keadaan susah, ahli-ahli menyokong. Jadi bila saya pimpin saya kena fikir seluruh jentera dan ahli parti,” katanya.
Jelas Anwar, beliau membangkitkan hal tersebut kerana itulah yang disuarakan oleh ahli akar umbi parti di negeri-negeri, termasuk mengenai soal penyaluran dana oleh pemimpin kerajaan atau wakil rakyat dari parti yang sekarang memegang jawatan.
Katanya, pengagihan itu harus telus dan tidak mengulangi kelemahan pentadbiran sebelum ini.
“Sepatutnya harus telus,” katanya sambil menegaskan bahawa tanggungjawab beliau untuk memberi peringatan.
Ditanya mengenai tanggapan konvensyen PKR yang bermula dua minggu lalu dipulau oleh sesetengah pemimpin dan ahli parti, Anwar berkata semua cabang hadir di konvensyen di empat negeri setakat ini.
“Adalah dalam kalangan dua tiga orang (tidak hadir) tetapi dalam parti yang pentingnya jentera, bukan suara satu dua ketua,” katanya. – 2 November, 2019.
Komen