PENGERUSI Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata semua pemimpin pembangkang boleh ditahan, namun usaha untuk menyingkirkan kerajaan kleptokratik akan diteruskan.
Beliau menegaskan bahawa PH akan berjaya menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang.
“Sekarang pun (beliau) rasa gementar dan takut. Itu sebabnya tindakan penahanan, dan menuduh pemimpin dari PH dengan bermacam dakwaan…pembabitan dalam penyelewengan dan pelbagai dakwaan lain.
“Beliau juga manusia yang tidak tahu malu. Beliau melakukan perkara yang tidak baik.
“Tetapi kami sanggup berdepan dengan semua cabaran. Sekiranya (mereka) mahu menangkap kami, mereka boleh tangkap. Parti kami akan meneruskan perjuangan, walaupun tanpa pemimpin,” katanya.
Dr Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun berucap pada pembukaan konvensyen Amanah nasional kedua di Alor Setar. Amanah merupakan ahli PH.
“Ia merupakan tanggungjawab semua rakyat Malaysia. Ianya bagus mempunyai pemimpin, namun semua pemimpin dipenjarakan, jadi semua yang menyokong PH akan berjuang sendiri untuk menyingkirkan Najib.
“Saya yakin kita masih ada peluang kerana kita sayangkan negara yang diberkati ini yang boleh menjadi negara maju,” katanya.
Beberapa pemimpin pembangkang mempunyai siasatan yang tertangguh dan kes mahkamah berkaitan pelbagai tuduhan.
Terbaharu, presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal, yang direman selama empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, yang mana beliau adalah menterinya ketika itu.
Beliau digugurkan dari Kabinet Najib pada 2015, kira-kira setahun sebelum beliau mengumumkan peletakan jawatan dalam Umno berikutan penggantungannya.
Shafie, yang merupakan naib presiden Umno ketika itu, mengkritik Najib dalam menguruskan skandal 1Malaysia Development Berhad.
Selepas meninggalkan Umno, beliau menubuhkan Warisan iaitu parti pembangkang yang berpangkalan di negeri kelahirannya, Sabah. Warisan bagaimanapun tidak menyertai PH.
Dalam ceramah malam tadi, Dr Mahathir turut mempersoalkan mengapa siasatan ke atas Shafie tidak dilakukan ketika beliau menjadi menteri Umno. – 21 Oktober, 2017.
Komen