PARTI komponen Barisan Nasional bakal dapat kerusi yang lebih sedikit pada pilihan raya umum akan datang, bayang Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar apabila beliau mengatakan hari ini, mereka harus sedia menyerahkan kerusi tradisi untuk BN menang pilihan raya.
Katanya, BN tidak boleh terus-terusan mempertahankan status quo dengan meletakkan calon yang sama di kerusi yang sama sekiranya mereka masih gagal menang selepas tiga kali pilihan raya.
“Sebelum ini kalau satu-satu kerusi itu milik parti A, mereka akan terus bertanding di kerusi itu.
“Tetapi seperti yang presiden kata, sekiranya tidak ada perubahan dalam tiga penggal, masanya untuk kita tukar kerusi kerana kerusi bukan milik satu-satu parti,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri mesyuarat tertutup BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur.
“Tetapi kita perlu lihat sama boleh menang atau tidak, boleh diterima oleh rakyat atau tidak,” katanya, menggunakan istilah ‘boleh menang’ yang kerap digunakan pada pilihan raya umum lepas ketika mana BN hilang undi popular pada 2013.
Noh juga berkata sekiranya BN mahu terus memerintah negara, harus ada tolak ansur antara parti-parti komponen selain ada semangat berkongsi kuasa.
“Kita tidak boleh bertanding dalam pilihan raya dengan prinsip status quo,” tambahnya.
Pada September lepas, Presiden MCA, Liow Tiong Lai berkata partinya terbuka untuk berbincang dengan parti-parti komponen BN yang lain tentang kemungkinan menukar kerusi bagi meningkatkan peluang menang pilihan raya.
Pada PRU13, MCA menang hanya tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya dan menang 11 daripada 90 kerusi dewan undangan negeri.
Pada 2008, ia menang 15 kerusi Parlimen daripada 40 yang ditandingi, serta menang 29 kerusi negeri.
MIC pula menang hanya tiga kerusi parlimen dan lima kerusi negeri pada PRU13.
Pada 2008, ia menang tiga daripada 9 kerusi Parlimen yang ditandingi serta tujuh daripada 19 kerusi negeri. Ia kemudian menang satu kerusi parlimen melalui pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 2010.
Gerakan pula, yang kalah kepada DAP di Pulau Pinang pada 2008, gagal merampas semula negeri itu pada 2013. Gerakan mentadbir negeri itu selama 39 tahun. – 21 Oktober, 2017.
Komen