SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik operasi untuk orang ramai di Tanjung Piai membuat laporan tentang pelanggaran peraturan pilihan raya atau mengesyaki berlaku rasuah dan salah guna kuasa sepanjang pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu berlangsung.
Agensi itu dalam satu kenyataan menggesa semua parti dalam PRK yang akan diadakan 16 November depan, untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang pilihan raya.
SPRM berkata ia akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan kempen dijalankan bebas daripada elemen rasuah.
“SPRM akan membuka bilik operasi hari ini bagi membolehkan orang ramai memberi maklumat berkaitan salah laku berkaitan rasuah dan salah guna kuasa ketika PRK Tanjung Piai.
“Bilik operasi dibuka 24 jam di kompleks pejabat SPRM di Tampoi,” katanya.
Orang ramai juga boleh memberi maklumat menerusi e-mel di [email protected] atau hubungi nombor telefon 07-213 600/07-213 6170.
Kempen PRK itu akan bermula hari ini selepas proses penamaan calon pagi tadi selesai.
Enam calon menghantar borang, termasuk Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai Karmaine Sardini, 66, mewakili Pakatan Harapan dan Wee Jeck Seng, 55, daripada MCA (Barisan Nasional) yang juga bekas ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal.
Calon lain ialah Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Wendy Subramaniam, 38; Presiden Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik daripada Bersatu pada 21 September.
Pada PRU14, Farid menang kerusi Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). – 2 November, 2019.
Komen