Bagaimana Pakatan, BN akan bersaing di Tanjung Piai


Sheridan Mahavera

Walaupun PRK Tanjung Piai tidak mengubah kedudukan di Dewan Rakyat, ia dianggap penting kerana akan menguji sokongan umum kepada PH dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2019.

PERSAINGAN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang bermula hari ini akan bertumpu di petempatan yang padat penduduk di kawasan Parlimen ini.

Kawasan pekan di Pekan Nanas, Rambah dan Kukup secara keseluruhannya mempunyai lebih 30,000 pengundi berdaftar atau lebih separuh daripada keseluruhan 52,986 pengundinya.

Tidak kurang pentingnya ialah lebih 26,000 pengundi yang tinggal dan bekerja di luar daerah iaitu di beberapa bandar lain di Johor serta Lembah Klang dan Singapura.

Penganalisis politik memberitahu The Malaysian Insight, kemenangan sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) akan banyak bergantung pada sejauh mana pengundi di luar daerah ini pulang untuk mengundi pada 16 November nanti.

Kemenangan juga akan bergantung pada sejauh mana calon berjaya meraih undi di Pekan Nanas, Rambah, dan Kukup. Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, PH menang undi majoriti di tiga daerah itu melibatkan 11 pusat daerah mengundi.

Tanjung Piai mempunyai 11 pusat daerah mengundi.

Walaupun PRK ini tidak akan mengubah kedudukan di Dewan Rakyat atau kestabilan pentadbiran kerajaan Pakatan, ia dianggap penting kerana akan menguji sokongan umum kepada PH dan BN.

Dalam PRU14, calon PH Dr Md Farid Md Rafiq mengalahkan calon BN Wee Jeck Seng dengan 524 undi.

BN mencalonkan semula Wee, yang juga ahli Parlimen kawasan ini selama dua penggal selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013.

PH dan BN bersaing di Tanjung Piai imej yang saling bertentangan dari segi sokongan, dan sokongan asas itu akan mempengaruhi strategi mereka, kata badan penyelidik Institut Darul Ehsan (IDE).

Pengundi di Tanjung Piai terdiri daripada 57% Melayu, 42% Cina dan majoriti bakinya India.

Dalam PRU14, PH menang 65% undi Cina sementara BN hanya dapat 32%, kata pengurus kanan IDE Kamarulbahrin Zahid.

PH juga mendapatkan hanya 32% undi Melayu manakala BN mendapat 57%.

“Sekiranya PH hendak menang mereka kena kekalkan sokongan dalam kalangan bukan Melayu dan naikkan sokongan Melayu kepada 35%,” kata Kamarulbahrin.

Pada PRU14, calon PH Dr Md Farid Md Rafiq mengalahkan calon BN Wee Jeck Seng dengan 524 undi. Pada PRK ini, BN mencalonkan semula Wee. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2019.

Seorang lagi penganalisis politik Mohd Azlan Zainal dari Ilham Centre berkata keadaan BN pula adalah sebaliknya.

“BN tak risau tentang undi Melayu tetapi mereka perlu tambah sokongan bukan Melayu,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu.

PAS, yang bertanding kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam PRU14, mendapat 9% undi Melayu, yang kali ini dijangka akan berpindah kepada BN selepas parti Islam itu memberikan sokongannya sejak menjalin kerjasama dengan Umno.

Umno dan PAS perlu meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa kerjasama itu bukannya perkauman, kata Azlan.

Kerjasama dua parti itu atas nama muafakat nasional, yang diatur untuk menuju PRU15, dikritik kerana dibayangi ideologi ketuanan Melayu-Islam yang dirasakan tidak sihat untuk negara.

Keputusan Umno membenarkan MCA terus bertanding di Tanjung Piai adalah sebahagian daripada strategi untuk membuktikan bahawa kerjasama tersebut inklusif.

“Ini strategi untuk menjadikan muafakat nasional relevan kepada bukan Islam,” kata Azlan.

Analisis IDE dan Pakatan sendiri menunjukkan bahawa kemenangan parti itu dalam PRU14 bergantung pada pengundi di luar daerah dan belia berumur di bawah 31 tahun.

Pengundi berumur antara 31 hingga 50 tahun membentuk 45% daripada keseluruhan pengundi, diikuti mereka yang berumur lebih 50 tahun seramai 39%. Pengundi di bawah 31 tahun pula berjumlah 16%.

PH menang 51% undi daripada mereka yang berumur antara 31 dan 50 tahun, dan mendapat 48% undi daripada mereka yang di bawah 31 tahun. Sebagai perbandingan, BN menang 44% dan 45% undi daripada kumpulan yang sama.

Kekuatan BN datang daripada pengundi yang berumur lebih 50 tahun, yang dimenanginya sebanyak 53%.

PH berharap calonnya Karmaine Sardini akan dapat meraih undi mereka kerana latar belakang agamanya, kata Kamarulbahrin.

Umno pula perlu meningkatkan sokongan daripada pengundi muda, tambahnya.

“PRK ini penting bagi Bersatu, DAP, dan Amanah kerana mereka kena tunjuk bahawa mereka dapat mempertahankan kubu sokongan tradisi mereka.

“Ia juga penting untuk BN bagi menunjukkan bahawa mereka bukan rasis dan ketepikan bangsa lain,” kata Kamarulbahrin.

Selain Pakatan dan BN, Gerakan turut mengumumkan bertanding selain calon bebas Shamsubahrin Ismail yang mewakili kumpulan pemandu teksi. Berjasa yang bertanding atas tiket PAS dalam PRU14 juga akan meletakkan calon. – 2 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen