SERUAN PAS agar pengundi memilih calon Islam dalam pilihan raya akan menjejaskan peluang Wee Jeck Seng, calon BN di PRK Tanjung Piai, kata penganalisis.
Penganalisis memberitahu The Malaysian Insight, seruan itu akan memberi kelebihan kepada PH yang mempertaruhkan calon Melayu, Karmaine Sardini untuk mengekalkan kerusi tersebut.
Penyelidik Politik Institut Penang Nidhal Mujahid berkata saranan yang timbul semasa PRK Cameron Highlands itu akan menjadi modal politik PH untuk menyerang BN.
“Ketika PRK Cameron Highlands, PAS meminta pengundi Melayu mengutamakan calon Melayu kerana pada waktu itu, PH meletakkan calon berbangsa India.
“PH akan menyerang BN dengan kenyataan PAS tidak konsisten terhadap agenda perpaduan ummah,” kata Nidhal.
Bagaimanapun, PAS masih dapat memainkan sentimen orang Melayu ke atas DAP dalam kempennya menyokong calon BN.
“PAS mungkin berupaya meletakkan imej MCA sebagai kurang mudarat berbanding DAP yang didakwa mengancam kedaulatan Melayu-Islam,” tambahnya.
Namun beliau percaya ia tidak akan menjejaskan pengaruh PH ke atas kira-kira pengundi Melayu yang membentuk kira-kira 57% daripada keseluruhan lebih 53,500 pengundi di Tanjung Piai.
Tambahan pula, calon PH Karmaine dilihatnya lebih berwibawa di kalangan pengundi Melayu berbanding calon BN, Wee yang tewas di kerusi berkenaan dalam PRU14.
Karmaine merupakan seorang imam masjid dan aktif dalam institusi pendidikan agama termasuk mempengerusikan badan kebajikan sekolah agama dan penasihat pusat tahfiz.
“Melihat kepada kredibiliti calon, calon PH dilihat lebih dekat dengan konteks tempatan pengundi Melayu-Islam dan sumbangan beliau dalam masyarakat,” kata Nidhal.
Tambahnya, cita-cita PAS untuk menegakkan hudud juga menjadi masalah kerana Wee diketahui lantang menentang usaha tersebut.
“Ada beberapa kenyataan beliau yang agak kritikal menentang undang-undang Islam dan hukuman hudud pada waktu dahulu,” jelas Nidhal.

Seorang lagi penganalisis, Mazlan Ali juga berpendapat pendirian PAS yang kini menyokong MCA boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti parti Islam itu.
Pengkaji Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, rakyat akan mempersoalkan keikhlasan dan agenda politik PAS dengan membangkitkan semula saranan semasa PRK Cameron Highlands.
Oleh itu, tindakan BN mempertaruhkan calon dari MCA akan menguntungkan PH, katanya.
“PH akan menggunakan isu dalam PRK sebelum ini apabila calon bukan Melayu, PAS katakan pilih calon yang Islam tetapi kini sebaliknya berlaku. Isu ini melibatkan integriti dan ijtihad PAS.”
Selain itu, ahli PAS juga dalam dilema kerana sokongan kepada MCA akan menyebabkan pertambahan ahli Parlimen bukan Islam di Dewan Rakyat, katanya.
“Apa pendirian mereka terhadap kaum Islam sebagai calon? Saya nampak di sini apabila BN letak MCA, kelebihan berpihak kepada PH,” jelasnya.
Tambah Mazlan, perkara itu juga disokong dengan personaliti Karmaine yang lebih terkenal di kalangan orang Melayu di Tanjung Piai.
“Beliau seorang imam di masjid, rapat dengan orang kampung dan masyarakat akar umbi. PRK Tanjung Piai ini, saya yakin PH mampu tarik pengundi Melayu berbanding PRK sebelum ini.”
Mazlan juga percaya orang Umno sendiri menolak Wee sebagai calon BN, sehingga menyebabkan pengumuman calon itu pada Isnin lalu ditangguhkan.
“Orang Umno, saya anggap mereka tidak puas hati dengan pencalonan MCA, sebab itu berlaku kelewatan ketika pengumuman calon,” katanya.
Penganalisis Politik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun berpandangan, perubahan sikap PAS hanya menunjukkan dinamisme tindakan parti tersebut dalam berpolitik.
“Perlu dilihat, PAS bukan sebuah badan agama, tetapi merupakan parti politik yang menggunakan nama Islam. Pergerakan, sikap dan pendirian PAS adalah berdasarkan kepentingan semasa.
“Dan sebagai parti politik, ia merupakan satu tindakan yang dinamik. Kalau PAS adalah sebuah badan agama, ia tidak dinamik dan perlu mengikut hukum yang sudah ditetapkan,” jelasnya.

Pensyarah pengajian Melayu itu selanjutnya menyarankan jentera parti BN agar mencari pendekatan terbaik supaya akar umbi dapat menerima Wee sebagai calon mereka.
Jentera itu juga perlu menjelaskan Piagam Muafakat Nasional ditandatangani PAS-Umno pada 14 September lalu agar turut menekankan amalan musyawarah melibatkan pelbagai kaum dan agama.
Selain itu, MCA perlu bergiat untuk kembali relevan di mata pengundi, katanya.
“MCA perlu ambil peluang ini untuk membuktikan mereka masih relevan dan pastikan tidak terlalu bergantung kepada pengundi Melayu. Mereka harus memenangi hati pengundi Cina.
“Lihat semula falsafah Muafakat Nasional, ia juga menekankan kerjasama antara etnik dan parti selain daripada Umnoi-PAS dan hal itu perlu dijelaskan kepada masyarakat Cina,” tambahnya.
Namun, NGO Gerakan Pengundi Sedar (GPS) pula kekal dengan pendirian untuk menyokong calon kaum Melayu-Islam saja jika tiada calon lain akan muncul.
Ketua operasi GPS Assiddiq Fauzan berkata tindakan PAS yang kini menyokong calon bukan Islam ternyata menunjukkan parti itu bersikap lidah bercabang.
“Kita akan tunggu sehingga (hari penamaan calon). Jika tiada calon (Melayu-Islam) selain daripada PH, kita akan sokong PH.
“Pendirian kita, di mana kawasan majoriti Muslim sepatutnya ada perwakilan (Muslim). Tindakan PAS yang kini menyokong MCA pula disifatkan sebagai lidah bercabang,” katanya.
Satu parti yang bersekutu dengan PAS dalam Gagasan Sejahtera, Berjasa sudah mengumumkan akan menawarkan presidennya Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai calon.
Selain itu, bekas parti komponen BN, Gerakan turut mengumumkan timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam akan ditawarkan sebagai calon parti itu untuk PRK Tanjung Piai.
Langkah itu bagi meraih sokongan daripada kelompok Cina yang membentuk kumpulan pengundi kedua terbesar iaitu 42% di Tanjung Piai.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, bekas timbalan menteri Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu yang memenangi kerusi itu dalam PRU14 dengan majoriti 524 undi. – 2 November, 2019.
Komen