Harga petrol, minyak masak, ikan kembung naikkan indeks harga September


Melati A. Jalil

Indeks Harga Pengguna Malaysia meningkat 4.3% kepada 120.3 pada September 2017 daripada 115.3 pada bulan sama 2016, menurut Jabatan Perangkaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2017.

INDEKS Harga Pengguna Malaysia (IHP), yang mengukur inflasi, meningkat 4.3% bagi asas tahun ke tahun pada September 2017, naik dari 3.7% pada Ogos 2017, menurut data kerajaan.

Laporan bulanan Jabatan Perangkaan mengenai IHP merekodkan indeks keseluruhan bagi IHP naik bagi kadar lebih tinggi 4.3% kepada 120.3 pada September 2017 daripada 115.3 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Ia berkata kadar lebih tinggi itu susulan peningkatan indeks untuk pengangkutan (+15.8%), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.6%), perabot, perkakasan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (+2.8%), restoran dan hotel (+2.6%), kesihatan (+2.5%) dan perumahan, air, elektrik, gas (+2.4%).

“Indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan ketara 15.8% bagi asas tahun ke tahun pada September 2017, selepas naik 11.7% pada Ogos 2017.

“Harga purata seliter petrol RON95 ialah RM2.19 pada September 2017 berbanding RM1.70 pada September 2016. Bagi RON97, harga purata naik ke RM2.48 pada September 2017 berbanding RM2.05 pada September 2016.

“Minyak dan pelincir bagi peralatan pengangkutan persendirian sebanyak 7.8% daripada IHP,” menurut kenyataan Jabatan Perangkaan.

Jabatan itu berkata indeks untuk makanan dan minuman tidak beralkohol sejumlah 30.2% dalam IHP, meningkat 4.6% pada September 2017.

“Peningkatan itu disebabkan indeks sub kumpulan makanan yang terdiri daripada Minyak dan Lemak (+39.6%), Ikan dan Makanan Laut (+8.0%), Sayuran (+4.8%) dan Buah-buahan (+3.9%). Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada September 2017 sebanyak 5.1%.

“Dalam kalangan indeks barangan makanan yang merekodkan peningkatan ketara pada September 2017 berbanding tempoh sama tahun lalu ialah Minyak Masak (+49.1%), Choy Sum (+13.0%), ikan Kembung (+11.0%), Bayam (+10.9%), Sotong (+9.1%), ikan Cencaru (+6.8%), ikan Tenggiri (+6.8%) dan Kubis Bulat (+6.7%).

“Sementara itu, penurunan yang didaftarkan dalam indeks ialah bahan makanan seperti Ayam (-3.5%), Timun (-2.0%) dan Kacang Buncis (-1.2%).”

Peningkatan dalam Makanan dan Minuman Bukan alkohol dilihat di hampir semua negeri di Malaysia terutama di kawasan bandar seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka, katanya.

Dari Januari ke September, IHP meningkat 4.0% berbanding tempoh sama tahun lalu, disebabkan peningkatan dalam indeks makanan dan minuman bukan alkohol, yang mendaftarkan peningkatan 4.2%.

Inflasi teras, yang mana tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu, serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal mencatatkan perubahan dalam julat antara 2.3% hingga 2.6% dalam tempoh Januari hingga September 2017 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen