LAPAN daripada 10 pengundi Tanjung Piai menyenaraikan kos sara hidup sebagai keprihatinan mereka, kata Institut Darul Ehsan (IDE).
Tinjauan yang dijalankan dari 18 hingga 20 Oktober mendapati 85% mereka yang ditemubual mengatakan bahawa menangani kos hidup merupakan kebimbangan utama mereka.
Sebanyak 53% pula bimbang mengenai peluang pekerjaan atau pengangguran manakala 52% menyenaraikan kebimbangan terhadap hubungan kaum.
Antara 1,517 responden, 37% menyatakan isu kemiskinan sebagai kebimbangan utama mereka manakala 21% lagi tidak berpuas hati dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Ketua Eksekutif IDE Prof Dr Mohammad Redzuan Othman pada taklimat mengenai penemuan kajian pagi tadi.
Mengenai isu tempatan, sebanyak 38% isu infrastruktur disenaraikan seperti keadaan jalan yang menjadi kebimbangan utama mereka, manakala 26% lagi bimbang tentang kadar jenayah selain 20% mengenai isu sampah.
Kebimbangan lain yang disenaraikan ialah pengangkutan awam (18%), kekurangan lampu jalan (17%) dan kekurangan kemudahan awam seperti stesen minyak, ATM dan internet jalur lebar (14%).
Redzuan berkata tinjauan itu juga menunjukkan pengundi yang lebih berusia memilih untuk mengundi mengikut parti berbanding calon.
“78% daripada mereka berusia 61 tahun ke atas dan 74% berusia di antara 51 dan 60 tahun berkata, mereka akan mengundi parti dan bukannya calon,” katanya. – 1 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen