SEORANG calon bebas wakil pemandu teksi dari Johor akan diumumkan esok bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai untuk menghantar mesej kumpulan itu kepada kerajaan dan pembangkang, kata Gabungan Teksi Semalaysia (GTS).
Presidennya Kamaruddin Hussain berkata mereka sudah mengenal pasti calon yang akan dikemukakan untuk membawa suara pemandu teksi membantah bukan saja Pakatan Harapan (PH) yang memerintah mahupun pembangkang Barisan Nasional (BN).
“Mesej ini bukan saja untuk BN tetapi PH. Kalau mereka tidak berubah, mereka tidak akan dapat undi.
“Kami berharap pengundi Tanjung Piai akan menggunakan peluang (PRK) ini untuk menghantar mesej kepada semua pihak bahawa mereka tidak terhutang pada sesiapa dan akan memilih calon yang mewakili mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Kamaruddin, BN semasa jadi kerajaan dan PH yang menjadi kerajaan sekarang tidak mendengar keluhan nasib mereka.
“PH lebih teruk daripada BN. Sekurang-kurangnya BN dulu beri tayar kepada kami,” katanya, merujuk bantuan yang diberikan bekas perdana menteri Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kerajaan sekarang memorandum kami pun tidak layan. Kami harap ini akan berubah sebelum pilihan raya akan datang.”
GTS dijadual mengumumkan calonnya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, pagi esok.
Setakat ini, tiga calon sudah diumumkan masing-masing mewakili PH, BN dan Gerakan.
PH menamakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini manakala BN mengekalkan bekas ahli Parlimen kawasan itu dua penggal, Wee Jeck Seng yang juga ketua Bahagian MCA Tanjung Piai.
Gerakan, yang keluar daripada BN sebulan selepas PRU14, bertanding buat kali pertama selepas lapan PRK. Parti menawarkan Timbalan Setiausaha Agung Wendy Subramaniam.
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana masalah jantung pada 21 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian pada 16 November. – 31 Oktober, 2019.
Komen