Kajian felo Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) kononnya Bersatu dapat manfaat besar daripada penstrukturan semula syarikat berkaitan kerajaan tidak berasas, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof.
Beliau berkata pelantikan dalam GLC dibuat berdasarkan merit dan pertimbangan profesional, bukan berkaitan politik.
“Tak betul bila Ideas kata banyak penstrukturan semula memberi manfaat kepada Bersatu atau parti komponen lain (dalam Pakatan Harapan),” kata menteri Pembangunan Usahawan itu kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
“Tidak ada ketua bahagian Bersatu yang dilantik di kementerian saya.
“Ada tengok hirarki Bersatu? Siapa yang dilantik pegang jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)? Saya tak nampak sesiapa,” tambah beliau.
Redzuan mengulas hasil kajian Ideas bahawa pemimpin Bersatu mendapat manfaat daripada penstrukturan GLC.
Laporan kajian itu mendedahkan lapan calon Bersatu yang kalah pada PRU14 dilantik ke dalam lembaga agensi kerajaan seperti Ketengah, Kesedar, Kejora dan Keda.
Empat agensi berkenaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diterjaui oleh Rina Harun dari Bersatu. Rina yang juga ketua sayap Wanita Bersatu masih belum memberi respons kepada laporan Ideas itu.
Ketengah bertujuan untuk membangunkan aktiviti sosio-ekonomi di Terengganu, manakala Kesedar menumpu aktiviti di Kelantan.
Matlamat utama Keda untuk menaik taraf masyarakat luar bandar di Kedah, manakala Kejora di Johor.
Laporan Ideas menyebut pembaharuan dalam GLC dan badan berkanun membolehkan PH menggunakan GLC untuk tujuan politik dan menyalurkan kontrak kerajaan ke kawasan pilihan raya.
“Saya tak fikir begitu. Kena tengok spreadsheet lantikan.
“Saya cadangkan tengok semula semua lantikan dalam GLC. Saya tak fikir ia lantikan politik. Ia tiada kaitan dengan politik, tetapi berdasarkan merit,” kata Redzuan. – 31 Oktober, 2019.
Komen