PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang bersetuju dengan keputusan Barisan Nasional mencalonkan Wee Jeck Seng dari MCA untuk mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November depan.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, sokongan tersebut selaras dengan persetujuan yang dicapai dalam Muafakat Nasional, iaitu memastikan Umno dan PAS bersama dalam pilihan raya dan menyokong siapa juga calon yang diketengahkan.
“Saya dengan ini mengesahkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersetuju dengan calon yang dikemukakan sebagai calon Barisan Nasional PRK Tanjung Piai pada 16 November iaitu Wee Jeck Seng dari MCA.
“Sokongan ini adalah selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 September 2019 yang lepas,” katanya ketika berucap di Himpunan Jentera Muafakat Nasional negeri Selangor di Bangunan Umno Selangor Shah Alam, malam tadi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Takiyuddin menjelaskan pemilihan Wee dibuat berdasarkan kepentingan setempat di Parlimen Tanjung Piai yang diharap menjadi formula terbaik untuk pembangkang menang.
Katanya, pemimpin kanan PAS akan hadir pada hari penamaan calon Sabtu ini sebagai tanda sokongan.
Malam tadi, BN mengumumkan pencalonan Wee dalam satu majlis di pejabat Umno Pontian.
Menurut Takiyuddin, keputusan meletak calon dari MCA membuktikan bahawa Muafakat Nasional antara Umno dan PAS bukanlah pakatan untuk orang Melayu sahaja seperti yang didakwa oleh Pakatan Harapan.
“Inilah Muafakat Nasional yang dikatakan kononnya untuk orang Melayu, untuk rasis sahaja. Ini cetusan yang pertama.
“Kita PAS akan menggerakkan jentera kita membantu caon Barisan Nasional walaupun daripada MCA,” katanya.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik bulan lalu kerana komplikasi jantung.
Wee tewas kepada Dr Farid dengan majoriti 524 undi tahun lalu, sekali gus gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2008 dan 2013. – 31 Oktober, 2019.
Komen