MESEJ Whatsapp yang menjadi viral dan dikongsi di Tanjung Piai baru-baru ini mendakwa Belanjawan 2020 ada peruntukan bagi lelaki mahu berkahwin lebih daripada seorang isteri dan ini menyebabkan pengundi berang.
Ia salah satu punca utama 48% pengundi Tanjung Piai mahu menolak Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil itu, kata satu kaji selidik dijalankan badan pemikir Institut Darul Ehsan (IDE).
Mesej itu satu daripada banyak berita palsu dan maklumat salah yang tersebar dalam kalangan penduduk kampung dan masyarakat sekitar Tanjung Piai – kawasan pertanian di lokasi paling selatan di semenanjung Malaysia.
Penyebaran berita palsu yang tidak ditangani itu menjadi satu daripada tiga faktor yang akan menentukan sama ada PH mampu mempertahankan kerusi itu pada PRK 16 November ini, atau tidak, kata badan pemikir itu.
PRK Tanjung Piai dijangka pertandingan tiga penjuru antara Karmaine Sardini daripada Bersatu, Wendy Subramaniam (Gerakan) dan Wee Jeck Seng (MCA), walaupun belum pengumuman rasmi berkenaan pencalonan Wee daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Pengarah kanan program IDE Kamarulbahrin Zahid berkata dua lagi faktor ialah peningkatan sokongan pengundi Melayu dan mengekalkan undi daripada pengundi Cina.
“Bila kita tanya kenapa nak tolak PH dia tunjuk kita mesej Whatsapp dalam telefon dia. ‘Nah kamu tengok ni. Apa benda PH buat ni?’.
“Semua orang kampung kita jumpa ada dalam kumpulan Whatsapp kampung masing-masing. Whatsapp adalah sumber pertama berita kemudian Facebook,” katanya kepada The Malaysian Insight, menjelaskan tentang betapa berkuasa platform berkenaan dalam membentuk pendapat.
“Semua berita dia tunjuk kita palsu. Fake news. Menjadi masalah kerana mereka ni lain daripada orang bandar. Orang bandar ada juga kumpulan Whatsapp tapi akan ada orang untuk tapis balik, ‘kata ini tak betul’. Benda ini kurang ada di kampung.”

Aktivis kempen PH di Tanjung Piai memerlukan individu yang dikhaskan untuk membalas semula berita palsu dan menyampaikan maklumat tepat tentang kerajaan, katanya.
Walaupun 48% responden berkata mereka tidak mahu mengundi PH, ini tidak secara automatik menyatakan 52% menyokong gabungan itu.
Kamarulbahrin berkata keputusan penuh kaji selidik itu, termasuk paras sokongan PH akan didedahkan kepada umum selepas hari penamaan calon 2 November.
Sokongan Melayu dan Cina
Kira-kira 57% daripada pengundi Tanjung Piai seramai 52,986 adalah Melayu, 42% Cina dan selebihnya India.
Pada PRU14, Dr Md Farid Md Rafik daripada PH menewaskan Wee daripada MCA yang memegang kerusi Parlimen itu selama dua penggal, dengan majoriti 524 undi. Nordin Othman daripada PAS memperoleh 2,962 undi.
BN yakin dapat menawan semula kerusi itu daripada PH kerana mereka mendakwa kali ini undi PAS akan bersama mereka.
PAS dan Umno memeterai kerjasama politik bulan lalu. Atas kertas, kombinasi undi PAS dan BN akan mengatasi 524 undi PH bagi membolehkan kemenangan mereka dicapai.
Untuk mengekalkan kerusi itu, Kamarulbahrin berkata PH perlu melakukan beberapa perkara tambahan selain menangani berita palsu.
Pertama, ia perlu mendapatkan dan mengekalkan 35% undi Melayu, naik daripada 32% diterimanya pada PRU14.
Kedua, PH juga perlu memastikan sokongan dalam kalangan pengundi Cina kekal pada kira-kira 65% dan paling penting ialah jumlah pengundi keluar mengundi tinggi pada hari mengundi 16 November.
Ini kerana melihat kepada trend PRK tahun ini di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, jumlah pengundi Cina hanya kira-kira 60% hingga 63% kerana ramai tidak pulang untuk mengundi.
PH tewas semua tiga PRK itu.
Secara perbandingan, jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi bagi semua PRK itu antara 75% dan 80%. – 31 Oktober, 2019.
Komen