UNDI protes akan menjadi faktor besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata badan pemikir yang membuat tinjauan pengundi baru-baru ini.
Institut Darul Ehsan (IDE) memberitahu The Malaysian Insight, bagi PH undi protes itu mungkin datang daripada penyokong Cina yang kecewa berhubung cara kerajaan mengendalikan isu pendidikan vernakular.
Pilihan raya kecil Tanjung Piai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan calon Barisan Nasional Wee Jeck Seng.
Pengurus Kanan IDE Kamarulbahrin Zahid berkata sentimen protes daripada pengundi berkemungkinan besar dijelmakan dengan jumlah keluar mengundi yang rendah di kalangan penyokong utama kedua-dua pakatan.
Senario ini mengatasi keyakinan terutamanya di kalangan penyokong BN yang pembangkang mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali Tanjung Piai.
Parlimen yang diwujudkan melalui persempadanan semula pilihan raya pada 2003, menjadi kubu kuat BN sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 apabila ia dirampas oleh PH dengan 524 undi.
Di atas kertas, BN berkata dengan kerjasama PAS, ia akan dapat merampas semula Tanjung Piai pada PRK 16 November ini.
Teorinya adalah gabungan undi PAS dan BN akan mengatasi margin kemenangan PH.
“Tetapi jika BN meletakkan calon bukan Islam, PAS dan ahli Umno akan berada dalam dilema kerana mereka menyokong kempen ‘Dahulukan Produk Muslim’,” kata Kamarulbahrin kepada The Malaysian Insight.
“Jadi, bagaimanakah mereka akan memberitahu ahli untuk memilih calon MCA yang bukan Islam?”

Tetapi jika BN meletakkan calon daripada Umno, ahli MCA mungkin akan membantah keputusan itu kerana kerusi Tanjung Piai secara tradisinya dipertandingkan oleh parti berasaskan kaum Cina, kata Kamarulbahrin.
Tanjung Piai pertama kali ditandingi oleh bekas presiden MCA, Ong Ka Ting pada PRU 2004. Pada 2008 dan 2013, ia dipertandingkan dan dimenangi oleh Wee daripada MCA.
“Tanjung Piai adalah kubu kuat BN tetapi dengan semua faktor ini, kita tidak boleh mengatakan BN boleh menang mudah. Ia masih menjadi perlawanan sengit,” kata Kamarulbahrin. – 31 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen