Azmin bidas Ideas, pengagihan GLC tidak untungkan Bersatu


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata perdana menteri mengagihkan dengan adil semua GLC kepada kementerian lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

TIDAK betul tuduhan sebuah badan penyelidik bahawa pembaharuan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hanya menguntungkan Bersatu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Katanya, isu yang dibangkitkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu tidak betul kerana di bawah pentadbiran baharu kerajaan sekarang, Dr Mahathir Mohamad mengagihkan dengan adil semua GLC kepada kementerian lain.

“Tidak betul… beliau mengagihkan (GLC) sebab kebanyakan dulu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, sekarang beliau agihkan kepada kementerian lain,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, memberikan contoh kementeriannya yang hanya menerima tiga agensi daripada Kementerian Kewangan iaitu pihak berkuasa kemajuan tanah Risda, Felcra dan Felda.

Jelas beliau, segala hal melibatkan pengagihan GLC juga dibincangkan di Kabinet dan perdana menteri membuktikan kepimpinan yang tegas kepada Jemaah Menteri.

Pada masa sama beliau mengulangi pendiriannya yang Dr Mahathir patut kekal dan memimpin sehingga habis penggang memandangkan rata-rata menteri masih baharu dan tiada pengalaman.

“Banyak anggota Kabinet masih baru tapi kita bersedia untuk belajar 

“Kita komited dan kita perlukan beliau (Dr Mahathir) untuk pimpin kita selama bertahun-tahun lagi,” katanya.

Ideas hari ini mendakwa janji Pakatan Harapan untuk melakukan pembaharuan ke atas GLC nampaknya menguntungkan Bersatu.

Dapatan itu hasil kaji selidiknya mengesan perubahan dalam “laluan pelaporan” pelbagai GLC di bawah empat kementerian utama.

Kajian mendapati sembilan syarikat utama di bawah Kementerian Kewangan sudah dipindahkan untuk melapor secara terus kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Kajian bertajuk “GLC Monitior, 2019: State of Play Since GE14” mendapati walaupun Lim Guan Eng adalah menteri kewangan, syarikat utama negara termasuklah dana kekayaan negara Khazanah Nasional dan dana pelaburan negara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dipindahkan kepada Pejabat Perdana Menteri. – 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen