Bantuan kewangan mahasiswa boleh diuruskan pihak universiti, kata Maszlee


SM Amin

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata beliau telah memberikan amanat kepada semua naib canselor universiti awam untuk mengendalikan isu ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik kecewa dengan sikap mahasiswa yang sering meminta bantuan kewangan setiap kali beliau berdialog dengan mereka, sedang isu kebajikan sepatutnya boleh ditangani oleh pihak pengurusan universiti.

Maszlee berkata, pihaknya memahami masalah kewangan yang dihadapi oleh mahasiswa namun soal kebajikan tidak seharusnya jadi isu utama yang harus dibangkitkan setiap kali mereka mengadakan perbincangan.

“Terus-terang saya katakan, saya sedikit kesal apabila dalam banyak sesi dialog saya dan pelajar, yang berulang kali diminta kepada saya ialah bantuan berupa wang.

“Budaya ini agak meresahkan.

“Sekiranya isunya ialah kebajikan, saya telah memberikan amanat kepada semua naib canselor universiti awam untuk mengendalikan isu ini, selari dengan semangat autonomi yang ingin kita praktikkan,” katanya.

Maszlee berucap di mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Putrajaya, hari ini.

Menurut Maszlee, kerajaan telah menubuhkan kembali kesatuan pelajar yang akan mengelola perniagaan di dalam universiti bagi menyediakan peluang pekerjaan secara sambilan kepada pelajar yang memerlukan.

Jelasnya, beliau membangkitkan perkara ini supaya mesyuarat MPPK mengambil serius perkara ini dalam usaha mengubah corak pemikiran mahasiswa.

“Mentaliti ini telah membuktikan bahawa wujudnya kesenjangan antara pelajar dan masyarakat ini sangat-sangat membimbangkan. Justeru, saya menjentik isu ini agar MPPK memandangnya secara kritikal.

“Ada banyak yang perlu kita ubah dan saya yakin, keberadaan MPPK dan kewujudan langsung antara MPPK dan kabinet kerajaan ini akan menghasilkan natijah yang bermanfaat buat masyarakat dan negara tercinta,” katanya. – 30 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen