PERSOALAN perpaduan dan saranan menangani serta mengendurkan ketegangan kaum dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Perkara ini muncul ketika ahli politik, pemimpin NGO dan ahli akademik pro partisan semakin agresif memanipulasi isu kaum dan agama. Bahangnya seperti 13 Mei 1969 akan berulang esok lusa.
Masyarakat kita yang lebih enam dekad merdeka kekal hilang arah kerana isu perkauman dan sensitiviti agama kekal diperkudakan jentera politik.
Sesekali lupakan perihal ahli politik, NGO propa dan ahli akademik jadian. Mari kita renung sejenak sikap samseng jalanan. Barangkali ada pengajaran dan teladan.
Saya petik kisah berikut.
Seorang lelaki dewasa bertubuh gempal berjalan kaki dan tiba di warung makan di Chow Kit. Raga plastik yang dipenuhi DVD cetak rompak terikat di pinggang dengan tali beg melingkari leher dan bahu. Sekilas melihatnya, kita sudah tahu, lelaki berusia awal 20-an ini, Orang Kurang Upaya (OKU).
Setelah melihat lelaki itu berdiri dan meninjau di luar warung, seorang lelaki berkulit hitam legam dan berbadan tegap melambainya. Pemuda Cina dengan bakul DVD itu, segera berjalan ke meja makan dan bertemu Abang Kawasan.
“Boleh aku jual DVD sini?” Tanya pemuda Cina itu.
Melihat pada wajah dan bahasa tubuhnya kita sudah faham. Dia lembam.
“OK. Itu lu punya abang sudah telefon semalam. Gua sudah kasi tau maa… lu boleh niaga sini,” jawab Abang Kawasan.
Saya berasa lucu kerana lelaki Cina penjual DVD kelihatan sangat berusaha untuk bercakap bahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Melihat kesungguhannya, Abang Kawasan pula menjawab dalam linggo pelat Cina.
Namun, itu simbol persahabatan Abang Kawasan dan rakan Cina penjual DVD dalam urusan berniaga. Tidak ada isu kaum kerana samseng jalanan faham: dalam dunia mereka, kerjasama perlu diperkukuh melangkaui batas kaum dan bahasa.
“Siapa bos dia?” Tanya saya pada Abang Kawasan.
“Orang sini kalau sesak, akan pinjam wang dengan Sam. Dulu, dia buat judi tiga angka sini. Sekarang bisnes tiga angka dah susah. Semalam dia telefon minta benarkan budak dia, OKU niaga sini,” jawab Abang Kawasan.
Ini persefahaman dalam lingkaran samseng marhaen. Mereka memilih budaya tolak-ansur. Malah, sikap ini antara prinsip yang mesti difahami semua pemain jalanan. Perkauman tidak diraikan kerana bisnes gelap di jalanan memerlukan jaringan kerja yang luas.
Apabila hubungan persefahaman berada pada tahap terbaik, potensi kerjasama untuk meraih apa saja peluang “cari makan” akan meluas.
Sikap saling membantu dan saling melindungi adalah antara persefahaman samseng marhaen. Apalagi mereka saling kenal selama berdekad. Permusuhan semata-mata kerana perbezaan kaum dan bahasa adalah punca kerugian.
“Sam selalu membantu. Kalau orang sini tak ada modal meniaga, dia bagi pinjaman mudah. Asal bayar. Orang sini kalau terdesak, semua cari Sam,” kata Abang Kawasan.
Dalam banyak keadaan, hubungan rentas kaum amat penting kerana rangkaian samseng marhaen di jalanan perlukan sekutu.
Paling tidak dalam kes mencari Along yang bersikap membantu dan tidak mengamalkan kutipan cara kuku besi. Malah, atas semangat setiakawan, proses pinjaman dipermudah dan disegerakan.
“Kau jangan jual DVD filem Melayu tau. Kasihan itu produser, nanti rugi. Kau juga jangan jual DVD lucah, nanti tauke kedai makan sini marah,” pesan Abang Kawasan.
Lelaki lembam mengangguk faham. Itu syarat yang mesti dipatuhi. Pertama, industri filem Melayu dimodalkan orang Melayu. Jadi jangan bangkrapkan produser Melayu dengan DVD cetak rompak.
Kedua, jangan jual DVD lucah. Ia akan menimbulkan kemarahan kerana pemuda OKU itu akan masuk ke kedai-kedai makan yang majoriti pelanggannya orang Melayu.
Sejak itu, selama bertahun-tahun saya melihat pemuda Cina awal 20-an bernama Loong berjalan mundar-mandir di sekitar Chow Kit. Langkahnya perlahan tetapi Loong sentiasa tekun keluar masuk kedai makan mendekati pelanggan.
Pada raga DVD, ada ikatan riben berwarna kuning. Itu bukan riben sembarangan. Itu tanda walaupun dia Cina, Loong dilindungi Abang Kawasan dan diberikan hak untuk meniaga.
Peniaga jalanan dan samseng marhean di sekitar Chow Kit dan Kampung Bharu sudah maklum; Loong kini sahabat dan jangan ganggu aktivitinya “mencari makan”.
Bagi saya, dunia samseng marhaen sudah lama menghapuskan sikap perkauman. Samseng jalanan bekerja sama tanpa perlu mengikut rentak politik.
Dalam dunia “cari makan” di jalanan, ada prinsip: rezeki akan bertambah makmur apabila wujud perpaduan di kalangan semua pemainnya.
Setelah enam tahun berada di sekitar Chow Kit, kelibat Loong tidak lagi kelihatan sejak 2017. Bukan soal dihalang, tetapi bisnes DVD sudah menemukan era pengujung zaman.
Makan penampar
Pada satu malam tahun 2016, ketika berborak di warung kopi Jalan Raja Bot, nampak kelibat Loong berjalan dalam keadaan kelam-kabut. Setelah meninjau sana-sini, pemuda Cina itu berjalan laju ke meja Abang Kawasan.
“Itu Melayu angkat enam DVD tapi tak mau bayar,” katanya.
Abang Kawasan mendengarnya dan Loong nampak ketakutan.
“Siapa angkat lu punya barang?” Tanya Abang Kawasan.
“Sana,” jawab Loong sambil menunjukkan warung di hujung jalan.
Abang Kawasan bangun dan saya tahu, akan ada yang “makan penampar” malam ini.
Benar dugaan saya. Setelah membawa Loong menaiki motorsikal, Abang Kawasan sampai di warung Aceh di Jalan Raja Alang.
Tiga pembuli yang duduk melepak dan enam keping DVD masih atas meja makan. Abang Kawasan mendekati mereka.
“Bayar semua DVD yang kau ambil. Budak OKU pun kau nak buli. Samseng kepala bapak kau!”
Setelah menjerit, sekelip mata bertubi-tubi penampar Abang Kawasan melayang ke muka pemuda yang cuba bangun. Beberapa rakan Abang Kawasan ikut serta. Cuma, hanya sekadar penampar yang bertalu-talu.
Ini budaya biasa samseng jalanan mengajar “hamlau” yang berlagak gangster tetapi tidak menggunakan akal. Sejak remaja ketika membesar di pasar basah Chow Kit, begitulah realitinya.
Dalam budaya samseng marhaen di jalanan, pembelaan pada yang teraniaya dilakukan tanpa mengira soal kaum. Dalam kitab hukum hutan rimba, wujud tamadun hutan batu.
Cuma, falsafahnya berteraskan siapa benar dan siapa salah.
Kejadian pembelaan Abang Kawasan terhadap Loong mengajar saya, samseng moden tetap menolak budaya perkauman dan pembulian tanpa maruah.
Cuma, saya hairan kerana di meja politik, isu perkauman masih menjadi menu popular. Malah, dipesan berulang-ulang kali hingga hari ini.
Isu kaum mainan orang politik
Orang politik berkompromi soal kaum dan agama hanya untuk membantu saling berkuasa. Pada masa sama, dengan kuasa yang ada sebagai kerajaan mahu pun pembangkang, bisnes utama orang politik tetap sama: menjaja soal kaum dan agama.
Ini bisnes untuk undi popular walaupun menjahanamkan perpaduan negara.
Orang politik, barangkali hanya mampu mencapai kuasa dengan menjaja isu bangsa dan agama.
Sentimen dan sensitiviti kaum kosnya murah dan mudah untuk tularan pengaruh. Politik tidak meraikan semangat perpaduan sejati.
Berbeza dengan amalan samseng jalanan, perpaduan sudah lama diusahakan dan ia penting untuk meluaskan konsep “cari makan”.
Samseng jalanan memang tidak pedulikan politik semasa. Bagi mereka, rentak politik kaum dan agama tidak membantu memakmurkan kehidupan di jalanan.
Orang jalanan seperti Abang Kawasan dan Along Sam tidak akan berminat dengan isu perkauman dan agama.
Kalau bercakap soal kaum dan perpaduan, ada banyak yang perlu dipelajari ahli politik terutama falsafah samseng jalanan.
Ada masa Abang Kawasan dan Along Sam mampu mengajarkan banyak ilmu yang berguna untuk kepentingan kemakmuran bersama. – 30 Oktober, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen