Pakatan harap imej Islam Karmaine pikat pengundi Tanjung Piai


Sheridan Mahavera

Karmaine Sardini, calon PH untuk PRK Tanjung Piai ialah imam di sebuah masjid dan pegawai di dua sekolah tahfiz di Johor Baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

KETIKA Karmaine Sardini dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, satu perkara yang menonjol tentangnya ialah beliau boleh membaca doa.

Keadaan itu membawa kepada sorakan dan tepukan daripada aktivis PH di dewan itu di mana pengumuman berkenaan mencetuskan minat pemerhati dan penganalisis politik.

Kriteria itu simbolik kepada latar belakang agama Karmaine di mana penganalisis dan aktivis PH percaya akan menjadi kunci utama untuk berdepan Barisan Nasional (BN) pada hari mengundi 16 November depan.

Karmaine ialah imam di sebuah masjid dan pegawai di dua sekolah tahfiz di Johor Baru.

Beliau dijangka berdepan dengan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Wendy Subramaniam dan calon MCA, Wee Jeck Seng.

Sementara Gerakan mengumumkan Wendy sebagai calon mereka semalam, The Malaysian Insight memetik sumber melaporkan Wee dipilih sebagai calon BN. Namun tiada pengumuman dibuat setakat ini.

PH berharap kelayakan keagamaan Karmaine akan memberi timbal balas kepada naratif nasionalis Melayu yang dijangka dimainkan oleh parti tunjang BN, iaitu Umno dan rakan kerjasamanya, PAS.

BN dijangka mengekalkan calon MCA, Wee Jeck Seng untuk mempertahankan PRK Tanjung Piai. Setakat ini dijangkakan pertandingan tiga penjuru berlaku pada PRK itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

Satu lagi faktor utama ialah calon berusia 66 tahun itu ialah bekas pemimpin Umno di peringkat akar umbi di kawasan itu, menjadikan beliau wajah yang tidak asing di kampung berkenaan dan jawatankuasa surau – pembentuk pandangan yang penting dalam kalangan penduduk kampung.

“Blok pengundi paling penting dalam PRK ini ialah pengundi Melayu di kawasan luar bandar yang tinggal di Tanjung Piai,” kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali.

“Beliau ada imej warga kampung yang dihormati dan aktif di surau, jadi orang Melayu boleh dikaitkan dengannya,” kata pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu. 

“Ini penting kerana PH perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 35% sokongan daripada Melayu bagi berpeluang menentang BN.”

Pakar strategi PH menjangkakan jumlah kehadiran pengundi muda lebih rendah terutama mereka yang bekerja dan tinggal di Johor Baru, Singapura dan Lembah Klang, seperti trend pilihan raya kecil sebelum ini.

Pengundi ini membentuk separuh daripada lebih 52,600 pengundi Tanjung Piai dan mereka adalah kunci untuk kemenangan PH pada PRU14 lalu.

Jadi, bagi membolehkan peluang lebih cerah menentang BN, PH perlu menarik sokongan daripada pengundi yang tinggal di Tanjung Piai, kata Mazlan. – 30 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen